PIALA Sultan Ahmad Shah yang dipertandingkan sejak 1985 dengan kebiasaan utamanya menemukan juara Liga Super dan juara Piala Malaysia musim terdahulu.  

MUSIM baharu Liga Malaysia 2024-2025 bakal disingkap tirainya dengan Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah 2024 pada 10 Mei ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Perlawanan yang turut menawarkan mata dan pertama dalam jadual Liga Super 2024-2025 ini akan menemukan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan naib juara 2023, Selangor FC memandangkan Sang Harimau Selatan turut membolot Piala Malaysia 2023.

Penentuan pemenang Perlawanan Sumbangsih dibuat mengikut susunan:

i. Kelab yang memenangi perlawanan pada masa penuh (90 minit) dan jika seri;

ii. Kelab yang memenangi penentuan sepakan penalti mengikut undang-undang permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

iii. Pungutan mata hanya dikira mengikut keputusan masa penuh Perlawanan Sumbangsih.

JDT FC juara Liga Super 2023. – Foto JDT

Penjadualan Piala Sultan Ahmad Shah, Liga Super yang disertai 13 kelab dan Piala FA yang diumumkan badan pengurus liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam laman sosialnya hari ini membabitkan minggu 1 hingga minggu 13.

Namun jika Badan Saringan Awal (FIB) memutuskan hanya 12 kelab yang layak bertanding menyertai Liga Malaysia 2024-2025 (ekoran situasi tunggakan gaji Kedah Darul Aman – KDA FC), maka MFL akan mengemaskinikan kalendar dan jadual pertandingan yang lengkap untuk semusim.

Masa sepak mulanya hanya akan dikemas kini sebaik sahaja mendapat pengesahan penyiar rasmi MFL.

Perancangan penjadualan ini mengambil kira perkara-perkara berikut:

i. Kalendar FIFA 2023-2024 yang melibatkan latihan pasukan kebangsaan – (gambar kiri, – FAM) (Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027);

ii. Liga Juara Elit AFC (ACLE);

iii. Liga Juara AFC 2 (ACL 2);

iv. Kejohanan Kelab ASEAN Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF)

v. Pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025;

vi. Kejohanan ASEAN AFF 2024;

vii. Sukan Olimpik 2024;

viii. Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024;

ix. Pergerakan logistik dan operasi video bantuan pengadil (VAR);

x. Perkongsian venue perlawanan (Liga Super dan Piala MFL);

xi. Tempoh rehat dan perjalanan kelab

xii. Hari kelepasan am Persekutuan dan negeri 2024-2025 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, jadual pertandingan kalah singkir kebangsaan, Piala FA (gambar kanan) 2024 ditetapkan berikut:

i. Pusingan pertama: 13 – 15 Jun 2024

ii. Suku akhir I: 28 – 30 Jun 2024

iii. Suku akhir II: 4 – 6 Julai 2024

iv. Separuh akhir I: 20 – 21 Julai 2024

v. Separuh akhir II: 3 – 4 Ogos 2024

vi. Perlawanan akhir: 24 Ogos 2024

Format pertandingan Piala FA 2024 akan dimaklumkan selepas pengesahan FIB berkenaan jumlah kelab Liga Malaysia 2024-2025.

Begitu juga jadual dan format pertandingan Piala Malaysia dan Piala Pencabar MFL manakala Piala MFL (bawah 23 tahun) akan diumumkan dalam masa terdekat. – BebasNews

Leave a Reply