UBAIDULLAH Shamsul Fazili perlu bekerja keras setelah menyedari mudahnya B-23 Malaysia dibocori dengan pemberian penalti. – Foto FAM

HANYA sekali menang daripada siri empat perlawanan pemanas badan, masih kurang memberangsangkan pada kaca mata Ubaidullah Shamsul Fazili.

Bek Bawah 23 Tahun Malaysia ini turut melahirkan kecaknaannya kepada elemen cuai pasukan sepanjang menentang B-23 India, China dan Qatar di Doha dan Kuala Lumpur pada 22 dan 25 Mac, 4 dan 8 April lalu.

GAMBAR KANAN: Barisan serangan B-23 Malaysia dalam Piala Asia B-23 di Qatar turut didukungi pemain berpangkalan di Jepun, Luqman Hakim Shamsudin (10). – Foto FAM

“Empat perlawanan ini, (hanya) satu menang dan keputusan yang lain kurang memberangsangkan.

“Kami kena kurangkan kecuaian dalam perlawanan (macam) melepaskan penalti dalam dua perlawanan (dengan) China dan Qatar.

“Ini sesuatu yang tidak boleh dibuat selalu dalam kejohanan besar,” katanya dalam video Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas perlawanan antarabangsa tahap 2 menentang B-23 Qatar di Stadium Abdulla Khalifa, Doha, kelmarin.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido ini bakal berdepan Uzbekistan dan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha pada 17 dan 20 April ini serta Kuwait di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, 23 April ini dalam saingan Kumpulan D Piala Asia B-23.

Kejohanan dwitahunan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini turut menjadi medan kelayakan Sukan Olimpik Paris, Julai ini yang menawarkan tiga setengah tiket wakil benua ini.

B-23 negara tewas 1-0 dan 2-1 kepada B-23 tuan rumah dan China di Universiti Qatar, Doha namun mengalahkan B-23 India 2-1 serta diikat 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

“Kami goyah babak pertama (dengan B-23 Qatar) dan lambat menyesuaikan diri. Kami juga banyak kehilangan bola dan ragu-ragu dalam membuat keputusan tetapi kami bangkit semula dalam babak kedua,” katanya.

GAMBAR KIRI: Seorang lagi penyerang B-23 Malaysia, Haqimi Azim Rosli yang berpengalaman peringkat senior pada Piala AFF 2022-2023. – Foto FAM

Ubaidullah walau bagaimanapun menganggap wujudnya peningkatan corak permainan dan keserasian mereka sepasukan menjelang enam hari ke Piala Asia B-23.

“Kemajuan perlawanan demi perlawanan ini sesuatu yang bagus bagi persediaan kami terutama kemampuan teknikal pasukan.

“Kami juga perlu mengasah lagi bahagian serangan. Banyak yang perlu dipelajari. Baki (enam hari) yang ada, akan kami perbaiki semua aspek pasukan sebelum beraksi dalam perlawanan pertama Piala Asia B-23,” katanya. – BebasNews

Leave a Reply