SKUAD B-23 Malaysia bergambar kenangan dengan Duta Besar Malaysia Ke Qatar, Zamshari Shaharan dan Juan Torres Garrido (barisan tengah, berbaju Melayu coklat dan biru gelap) selepas menunaikan solat Aidilfitri di kedutaan itu di Doha, hari ini. – Foto FAM

KETUA jurulatih Bawah 23 Tahun negara, Juan Torres Garrido membuat kejutan dengan mengetepikan perantara bertahan kelab bahagian tiga Jerman, V. Annil (gambar kiri, 2 – FAM) daripada senarai 23 pemain ke Piala Asia B-23 di Qatar dari 15 April hingga 3 Mei ini.

Pemain SV Waldhof Mannheim 07 itu hanya pernah diuji ketika perlawanan persahabatan dengan B-23 India di Kuala Lumpur, Mac lalu dan tidak tersenarai apabila Tim Torres ditewaskan B-23 China 2-1 dan B-23 Qatar 1-0 di Doha pada Khamis dan Ahad lalu.

Nasib serupa turut menyebelahi Firdaus Ahmad Fuad (Perak FC), Alif Ikmalrizal Anuar (Penang FC) dan Faris Rifqi Rashid (Terengganu FC, gambar bawah kanan 15 – FAM) selain Nur Zharif Zaini serta Haykal Danish Haizon.

Ketiadaan nama mereka bagi kempen Malaysia dalam Kumpulan D Piala Asia B-23 yang bermula 17 April ini dikesan ekoran pengumuman pendaftaran akhir senarai pemain 16 pasukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi laman sesawangnya, hari ini.

Sebelum berlepas ke Qatar pada 1 April lalu, skuad belia negara terpaksa melupakan khidmat tiga tonggak yang memiliki kap Harimau Malaya, Rahadiazli Rahalim, V. Ruventhiran dan Azam Azmi Murad akibat kecederaan.

Tim Torres akan berdepan Uzbekistan dan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha pada 17 dan 20 April ini serta Kuwait di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, 23 April ini.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir kejohanan dwitahunan anjuran AFC ini akan meneruskan perebutan tiga setengah tiket Asia ke Sukan Olimpik Paris, Julai depan.

GAMBAR BAWAH KIRI: Alif Ikmalrizal Anuar, penyerang (21) turut diketepikan daripada Piala Asia B-23. – Foto FAM 

SKUAD B-23 MALAYSIA: Firdaus Irman Fadhil, Azim Al Amin Kamaruddin, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (penjaga gol), Aiman Khairul Yusni, Ubaidullah Shamsul Fazili, Harith Haiqal Adam Afkar, Saiful Jamaluddin, Ahmad Zikri Khalili, Safwan Mazlan, Azrin Afiq Rusmini (benteng), Najmudin Akmal Kamal Akmal, Muhammad Abu Khalil, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Syahir Bashah, Daryl Sham George, Umar Hakeem Suhar Rezwan (perantara), T. Saravanan, Luqman Hakim Shamsudin, Aliff Izwan Yuslan, Alif Zikri Zaini Anuar, Fergus Tierney, Haqimi Azim Rosli (penyerang). — BebasNews

Leave a Reply