AZRIN Afiq Rusmini (4) ketika membarisi kesebelasan utama Malaysia pada Piala Asia B-23 di Tashkent, dua tahun lalu. Rahadiazli Rahalim (22) dan Azam Azmi Murad (6). – Foto FAM

AZRIN Afiq Rusmini menjadi ahli baharu skuad Bawah 23 Tahun Malaysia yang ‘bertuah saat akhir’ menjelang empat hari kempen Piala Asia B-23 Kumpulan D menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha.

Bek kiri Negeri Sembilan FC ini dipanggil dari tanah air untuk menggantikan perantara, Aiman Afif Afizul yang tercedera ketika B-23 negara ditundukkan B-23 Qatar 1-0 pada perlawanan antarabangsa tahap 2 secara tertutup di Stadium Abdulla Khalifa, 7 April lalu.

Pengguguran Aiman (gambar kiri, 20 – FAM), 23, akibat masalah pangkal paha juga menggenapkan empat tonggak B-23 yang khidmat mereka terpaksa dilupakan ketua jurulatih, Juan Torres Garrido gara-gara kecederaan.

Aiman yang juga perantara Kedah Darul Aman FC pernah menyarung lilit kapten B-23 Malaysia yang menewaskan B-23 India 2-1 dalam perlawanan pemanas badan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 22 Mac lalu.

Tim Torres berlepas dari tanah air pada 1 April lalu bagi membuka kem latihan fasa akhir di Universiti Qatar, Doha tanpa Rahadiazli Rahalim, V. Ruventhiran dan Azam Azmi Murad malah tidak dapat memanggil Richard Chin yang berpangkalan di England atas sebab sama.

Azrin, 22, bakal menambah persaingan bagi barisan benteng B-23 negara yang kini mengandungi Aiman Khairul Yusni, Ubaidullah Shamsul Fazili, Harith Haiqal Adam Afkar, Saiful Jamaluddin, Ahmad Zikri Khalili dan Safwan Mazlan.

Uzbekistan merupakan ujian paling getir antara tiga lawan Kumpulan D Malaysia memandangkan reputasi pasukan Asia Tengah itu selaku juara 2018 dan naib juara 2022.

Skuad kendalian Kapadze Timur ini turut diperkasa penjaring terbanyak, Khusain Norchaev dengan enam gol ketika mereka menjuarai kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-23 di Tashkent, September lalu.

Vietnam yang akan diharungi juga di Stadium Antarabangsa Khalifa pada 20 April ini tidak kurang sengitnya kerana pernah muncul naib juara 2018 manakala Kuwait di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, 23 April ini sentiasa menyulitkan laluan selaku antara handalan Asia Barat.

Dua tahun lalu di Tashkent, B-23 Vietnam juga mengalahkan B-23 Malaysia 2-0 yang dikendalikan Bradley Maloney dari Australia dalam saingan Kumpulan C.

Tiga pasukan terbaik Piala Asia B-23 akan layak automatik ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini manakala yang kalah penentuan tempat ketiga, akan merebut slot akhirnya dengan wakil Afrika, Guinea dalam play-off di ibu kota Perancis itu, 9 Mei ini.

SKUAD B-23 Malaysia (barisan depan dari kiri antaranya Luqman Hakim Shamsudin, Aiman Afif Afizul, Nooa Laine dan Najmudin Akmal Kamal Akmal menghadiri sesi taklimat pertandingan Piala Asia B-23 oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di hotel penginapan mereka di Doha, Qatar. – Foto FAM

Malaysia pernah layak ke dua Sukan Olimpik (ketika itu saingan pasukan senior) di Munich dan Moscow pada 1972 dan 1980 (diarahkan memulaukannya oleh kerajaan).

Skuad kendalian Jalil Che Din ditewaskan Jerman Barat 3-0 dan Maghribi 6-0 serta menumpaskan Amerika Syarikat 3-0 dalam saingan Kumpulan A pada 27, 29 dan 31 Ogos 1972. – BebasNews

Leave a Reply