Gambar hiasan
Oleh Shaid Umar Syed Alwi

KAMI, sebagai pekerja bank menyeru kepada Menteri Sumber Manusia untuk bercampur tangan demi menyelesaikan isu tentang pembayaran satu bulan bantuan perayaan seperti yang telah dijanjikan.

Setakat ini, kami hanya mendapat setengah bulan dan diberitahu bahawa besar kemungkinannya yang hanya itulah yang akan kami terima.

Masalahnya ialah ramai daripada pekerja bank yang berpendapatan rendah berpendapat bahawa suara kami tidak didengar, malah pengorbanan kami juga tidak diambil kira oleh pihak pengurusan.

Dari segi pandangan kami, pihak pengurusan hanya mementingkan keuntungan dan tidak mengambilkira pengorbanan dan kesusahan yang dialami oleh pekerja-pekerja bawahan.

Segala kederitaan dan permintaan kami hanya dapat disuarakan melalui kesatuan yang mewakili kami, iaitu Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE).

Malangnya, suara NUBE pun asyik dipedulikan oleh pihak atasan dan juga Menteri berkenaan.

Kami tahu bahawa bank-bank ialah penyumbang besar kepada ekonomi negara tetapi janganlah lupa pekerja-pekerja seperti kamilah yang bertanggungjawab demi memastikan bank berkenaan berfungsi dengan berkesan.

Kami juga faham bahawa suara kami juga asyik dipedulikan oleh pihak Media kerana bank-bank adalah juga pengiklan mereka, tetapi di dunia ini mestilah ada keadilan.

Pekerja-pekerja bawahan bukannya perpendatan tinggi dan bantuan perayaan satu bulan itu sangat bermakna kepada kami.

Setelah selesai perayaan Hari Raya, banyaklah hutang yang hendak diselesaikan dan kami haraplah Menteri Sumber Manusia kita dapat bekerjama dengan NUBE demi menyelesaikan perkara ini dengan baik.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada NUBE yang sering memperjuangkan hak kami.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply