Gajah yang mati akibat dilanggar dua buah kenderaan di JRTB malam tadi. - Foto ihsan polis.

GERIK — Gara-gara kurang berhati-hati ketika memandu menyebabkan seekor gajah yang berusia 20 tahun mati dilanggar kenderaan di Km 50 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood yang memberikan nasihat itu berkata, sikap berhati-hati penting kerana terdapat hidupan liar yang melintas dan berada di atas jalan raya.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, kesemua lapan orang yang menaiki dua buah kenderaan SUV Nissan X-Trail dan Produa Axia terselamat dan mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, sebuah kenderaan SUV Nissan X-Trail dipandu seorang lelaki berumur 36 tahun bersama-sama dua penumpang berumur 39 dan 44 tahun dalam perjalanan dari Pasir Mas, Kelantan menghala ke Gerik telah melanggar seekor gajah yang melintas jalan itu secara tiba-tiba.

“Berikutan itu, sebuah kereta Produa Axia yang dipandu seorang lelaki berumur 39 tahun dan membawa seorang perempuan 39 tahun dan tiga kanak-kanak melanggar pula bahagian belakang SUV,” kata beliau dalam kenyataannya.

Zulkifli berkata, bangkai gajah itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

Pada Khamis lalu, seorang lelaki berusia 55 tahun dari Bersia, Gerik dilaporkan cedera parah apabila patah kaki dan tulang rusuk akibat dipijak gajah ketika berhenti di Tugu Peringatan JRTB untuk membuang air.

— BebasNews

Leave a Reply