Majlis Tindakan Ekonomi Melayu mendakwa pengembalian semula LPN dapat mengawal selia bekalan padi dengan lebih baik. - FMT

KUALA LUMPUR — Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan kerajaan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi menyelesaikan isu kartel beras.

Felo Kanannya Ahmad Yazid Othman percaya penubuhan LPN dapat menyelesaikan isu berkaitan padi dan beras sekali gus mengurangkan kelemahan dan menyelamatkan pengilang beras Melayu dari terus pupus.

Katanya, langkah itu juga dapat menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan dan mengawal beras supaya tiada pihak mengambil kesempatan dan mendapat keuntungan besar ketika rakyat dalam keadaan tertekan.

“Kembalikan semula LPN untuk mengurus dan mengawal seliaan bekalan padi dan beras dengan lebih baik.

“Sekarang beras dikawal pihak swasta bukan GLC atau kerajaan. Kalau beras dikawal pihak swasta ia akan monopoli pihak tertentu,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM).

LPN diwujudkan pada 1971, berperanan dalam pengurusan penyelenggaraan bekalan padi dan beras selain memantau struktur penetapan harga jualan berpatutan serta stabil kepada petani tempatan.

Bagaimanapun, agensi itu dibubarkan selepas diswastakan sehingga tertubuhnya Syarikat Padi dan Beras Nasional Berhad (Bernas) pada 1996.

Yazid berkata, skim LPN membantu mewujudkan 300 kilang Melayu yang bagaimanapun semakin terpinggir selepas agensi itu diswastakan pada 1996, membuka kepada monopoli kartel.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendenda kartel beras seperti penalti RM415.15 juta terhadap lima syarikat makanan ayam.

Pengerusi PPBMM Mohamad Termizi Yop pula mendakwa monopoli belian padi oleh pengilang beras ‘gergasi’ mengakibatkan ramai pengusaha Bumiputera gulung tikar.

Dakwanya, ini kerana mereka gagal memperoleh belian padi untuk menampung kos operasi kilang masing-masing.

Justeru, beliau merayu kerajaan mewujudkan kuota belian padi maksimum 20,000 tan metrik untuk setiap kilang pada setiap musim dan mengkaji semula pindahan di antara negeri ke negeri. – FMT

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/10/wujud-semula-lpn-atasi-kartel-beras-putrajaya-diberitahu/

— BebasNews

Leave a Reply