SEPANG — Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya sekumpulan 30 jemaah cacat penglihatan yang mendapat tajaan penuh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.
(Andalusia) untuk menunaikan ibadah umrah.

Sudah lama mereka menunggu peluang itu dan akhirnya ibarat bulan jatuh ke riba, tawaran Andalusia disambut dengan penuh kesyukuran melalui pemilihan yang dilakukan oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)

Mereka kini di Madinah selepas penerbangan petang semalam dan walaupun 20 daripada mereka buta sepenuhnya tetapi begitu teruja untuk mengunjungi Baitullah dan berhasrat sekurang-kurangnya dapat menyentuh Kaabah.

Bagi Naib Yang Dipertua PERTIS, Jasmadin Budin, beliau amat berterima kasih dan bersyukur kerana tidak menyangka sama sekali dapat menunaikan umrah secara percuma atas tajaan Andalusia Travel.

Dari kiri Muhamad Firdaus Hairi, Zamzuri Ghani dan Jasmadin Budin.

“Terus-terang kebanyakan daripada kami bukanlah dalam golongan berkemampuan untuk menunaikan ibadah umrah. Kami benar-benar berterima kasih kepada pihak Andalusia kerana sudi menaja kami sepenuhnya ke Makkah.

“Kami akan menggunakan kesempatan ini untuk benar-benar beribadah kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.

Melalui penajaan itu, setiap jemaah mendapat pakej bernilai RM7,890.

Sementara itu, Ketua Unit Penerbitan PERTIS, Muhamad Firdaus Hairi, 36, juga tidak menduga peluang itu datang dalam kehidupannya.

“Saya rasa sangat teruja dan gembira kerana dalam kehidupan ini akan dapat menjejak kaki ke Haramain, dua kota suci yang menjadi tempat tinggal Nabi Muhammad SAW dan terbinanya Baitullah,” katanya.

Baginya, inilah kali pertama bukan sahaja dapat ke Makkah dan Madinah tetapi juga buat kali pertama dapat menaiki kapal terbang.

“Kali pertama naik kapal terbang pula bukan ke tempat lain tetapi yang dituju adalah Haramain,” katanya yang amat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Pengurus Operasi PERTIS, Zamzuri Ghani, 45, pula menyatakan amat teruja dan perasaan gembira bercampur dengan kesayuan kerana berpeluang menunaikan ibadah umrah.

Katanya selama ini beliau hanya mendengar masyarakat Islam berkunjung ke sana untuk umrah.

“Rasa ribdu nak pergi, dan tiba-tiba peluang itu datang berharap rakan-rakan lain juga peluang yang sama, sama ada atas takaan Andalusia atau pihak lain yang dapat membantu kami, “ katanya.

— BebasNews

Leave a Reply