Julia Madzalan bergambar dengan rakan-rakan di Hamilton Zoo, New Zealand
Oleh Julia Madzalan

TRADISI berhari raya di Malaysia sangat meriah dan menggembirakan. Sudah menjadi amalan semua lapisan masyarakat yang menyambut perayaan ini, hari raya akan dimulakan dengan persiapan beberapa minggu sebelum hari kemeriahan tersebut tiba.

Pemilihan pakaian, hidangan, hiasan, dan tema hari raya yang serasi menjadikan sambutan hari raya semakin meriah, kerana hari ini adalah hari kemenangan dan hari berkumpul bersama sanak saudara, sahabat handai, dan jiran tetangga yang terutamanya sukar untuk ditemui pada hari-hari biasa.

Sambutan hari raya bagi anak perantauan tidaklah sama seperti yang berlaku di Malaysia. Bagi anak perantauan, terutamanya di kawasan di mana masyarakat yang beragama Islam adalah komuniti yang kecil, sambutan ini tidak membawa impak yang besar kepada masyarakat setempat.

Tahun ini saya berhari raya di Hamilton, New Zealand. Di sini, sambutan Aidilfitri adalah satu hari biasa yang tidak jauh bezanya dengan sambutan perayaan kecil masyarakat minoriti. Malaysia dan beberapa negara serantau telah pun menyambut 1 Syawal.

Namun di New Zealand, sambil menunggu pengumuman hari raya melalui Facebook rasmi FIANZ, saya terus mengucapkan hari raya kepada keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Di New Zealand, Ramadhan bermula sehari lebih lewat berbanding di Malaysia.

Maka, Aidilfitri dijangka turut disambut sehari lebih lewat. Apabila FIANZ mengumumkan tarikh sambutan 1 Syawal, saya bertakbir sendiri di rumah. Almaklumlah, saya menyewa unit studio di dalam sebuah rumah di mana semua penyewa lain beragama Kristian, animisme, dan ateis.

Namun, hormat menghormati adalah budaya teras masyarakat Kiwi, maka perbezaan itu tidak menjadi penghalang kami untuk hidup harmoni. Disebabkan 1 Syawal jatuh pada hari Khamis, maka solat hari raya saya laksanakan di rumah sahaja kerana sambutan Eid di sini dilakukan pada hari Sabtu di masjid yang terhampir (kira-kira 10 minit berkereta dari rumah).

Saya tidak bercadang untuk ke Auckland untuk menyambut hari raya pada tahun ini. Majlis hari raya yang saya hadiri tahun lepas adalah ibarat sambutan pesta makanan yang diadakan di stadium dengan kehadiran masyarakat sekitar kawasan tersebut.

Tambahan pula, saya sangat menitikberatkan soal pemakanan, maka sifat cerewet itu menjimatkan wang dan menyihatkan badan saya. Hanya program lawatan ke Zoo Hamilton anjuran universiti yang saya sertai bersama beberapa rakan dari negara lain. Nampaknya, inilah sambutan hari raya versi 2024 untuk diri saya.

Selesai mengucapkan hari raya kepada keluarga melalui panggilan video, saya meneruskan rutin harian. Tugasan selaku seorang pelajar pascasiswazah di luar negara membuatkan saya menghargai dan memaknai erti sambutan Aidilfitri – betapa keluarga adalah anugerah terhebat yang diberikan oleh Allah kepada seseorang manusia.

Sejauh mana pun saya pergi, setinggi mana pun saya daki, dan seindah mana pun alam yang saya tatap, hati tetap kembali mengingati keluarga tercinta. Saya berharap saya akan dapat menyambut Aidilfitri tahun depan bersama-sama keluarga.

Buat keluarga di Bangi, Selangor, dan Gemas, Negeri Sembilan; salam Aidilfitri, maaf Zahir dan batin. Semoga Allah merahmati ayahanda Madzalan Mahadi yang kembali ke rahmatullah pada 17 Disember 2023.

*Penulis merupakan penuntut di University of Waikato, Hamilton, New Zealand.

— BebasNews

Leave a Reply