SIBU — Tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-21, Sarawak mahu mencipta rekod kejohanan yang bermula 17 Ogos ini untuk menaikkan imejnya sebagai kuasa sukan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata bagi tujuan itu, atlet-atlet Sarawak yang bertanding perlu meraih sebanyak mungkin pingat emas.

Pada Sukma edisi ke-20 di Kuala Lumpur pada tahun 2022, Sarawak menduduki tempat keempat daripada keseluruhan 15 kontingen yang mengambil bahagian, dengan pungutan 32 pingat emas, 43 pingat perak dan 52 pingat gangsa.

“Saya dengan ini menggesa semua warga Sarawak di segenap pelosok negeri ini agar keluar meraikan temasya berprestij ini, dengan memberi sokongan padu dan semangat juang kepada atlet-atlet sarawak yang bertanding dalam apa jua arena sekalipun.

Selain itu juga berilah sokongan sorak juga kepada atlet negeri-negeri lain yang turut bertanding,” katanya ketika berucap pada perasmian program Larian Baton sempena Sukma ke-21 peringkat Bahagian Sibu, di Dataran Tun Tuanku Bujang semalam.

Terdahulu larian membawa Baton Sukma ke-21 bermula di Dataran Tun Tuanku Bujang, mengelilingi Bandar Sibu sejauh tiga kilometer dengan melibatkan penyertaan 650 orang.

Bahagian Sibu merupakan destinasi kelima untuk acara larian baton dan akan diteruskan ke bahagian lain sehingga ke Bahagian Kuching.

Tiang berkata Sukma edisi ke-21 di Sarawak tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah penganjuran temasya tersebut, melibatkan 37 jenis sukan dengan 488 acara dipertandingkan mampu meninggalkan impak positif kepada perkembangan sukan negara.

Pada masa sama katanya, Sarawak juga mahu menjadikan penganjuran edisi ke-21 sebagai yang terbaik pernah diadakan dan berjaya dengan cemerlang.

Dianggarkan lebih 12,000 atlet dan pegawai turut serta, manakala lebih 2,000 atlet dan pegawai bagi Para Sukma mewakili 13 buah negeri, Wilayah Persekutuan dan negara Brunei akan mengambil bahagian.

Beliau berkata Sukma ke-21 juga akan menyaksikan sembilan bahagian di Sarawak sebagai lokasi pertandingan, berbanding Sukma pada tahun 2016 yang hanya melibatkan Bahagian Kuching, Sibu dan Miri.

Langkah itu membolehkan atlet daripada negeri-negeri lain dapat menikmati kekayaan budaya berbilang kaum, keindahan alam semula jadi dan pembangunan pesat yang dialami Sarawak.

— BebasNews

Leave a Reply