BARU baru ini isu UiTM (Universiti Teknologi MARA) telah ditengahkan dan dibincangkan dalam media. Bagi orang Melayu, UiTM sebagai hak penuh seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Ada pula orang bukan Melayu menyuarakan pandangan yang berbeza yang nampak mencabar hak dan kedudukan orang Melayu. Tidak pula dengar apa kata orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Perdebatan dalam media baharu telah membiakkan perbincangan di pelbagai peringkat sehinggakan ada pertembungan antara pemimpin politik dan pengikut mereka. Ada baiknya perbincangan yang telus ini ditengahkan kerana ramai dapat tahu perkara sebenar dan asas kewujudan UiTM. Penubuhan Universiti Teknologi MARA adalah menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Amanah Rakyat atau lebih dikenali sebagai MARA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang dibentuk pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun dan otonomi.

Penubuhan MARA adalah hasil daripada perancangan pembangunan ekonomi Bumiputera yang dimulakan dengan RIDA (Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan) sejak 1953.

Selepas teguran pemimpin-pemimpin Melayu dahulu RISDA ditubuhkan dan Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965 mendesak agar ekonomi orang Melayu diperkukuhkan.

Oleh kerana sumbangan RISDA tidak berkesan dan nampak kurang berkemampuan maka pada tahun 1966 MARA ditubuhkan. MARA bukan sahaja menawarkan biasiswa untuk kaum Bumiputera tetapi menubuhkan beberapa institusi pendidikan sendiri.

Ekonomi Bumiputera dilihat boleh maju melalui sistem pendidikan yang baik. Melalui MARA sistem pendidikan untuk Bumiputera diperkasakan secara sistematik melalui penubuhan Maktab Rendah Sains MARA, Kolej MARA, Kolej Profesional MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Perindustrian MARA-Japan, Institut Kemahiran MARA, Institut German-Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech MARA, dan Universiti Teknologi MARA.

Pembangunan sistem pendidikan khas untuk Bumiputera disediakan bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi Bumiputera agar Malaysia terus berada dalam keadaan stabil dan aman serta kompetitif dalam dunia moden yang berkembang pesat.

Program khas pembangunan ekonomi Bumiputera adalah perlu kerana mereka sudah lama berada dalam keadaan yang serba kekurangan dari segi kemudahan infrastruktur dan pendidikan.

Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara membangun yang rakyatnya hidup harmoni dan sejahtera mesti diteruskan dengan panduan perlembagaan dan undang-undang.

Panduan ini memandu dan mengingatkan rakyat untuk terus berusaha mencapai matlamat memastikan tiada golongan yang tertinggal dan hidup makmur bersama. Golongan Bumiputera mesti terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan tanpa prasangka mana-mana pihak demi kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153 (1) memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan.

Dalam melakukan perkara ini, kuota untuk masuk ke perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam diwujudkan.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sangat kuat dalam melindungi hak keistimewaan Bumiputera dan tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa serta jelas kesannya. Namun begitu ada juga kes dimana hal-hal berkaitan Perkara 153 ini disentuh tanpa panduan dan tindakan oleh pihak berkuasa.

Walaupun Perkara 153 nampak kontroversi dan sensitif oleh banyak pihak, ia terus di debatkan secara terbuka. Pihak pakar perlembagaan dan undang-undang mungkin perlu menyedia panduan dan etika apabila bercakap tentang perlembagaan terutama berkaitan Perkara 153 demi perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan umum.

Semua orang ada hak tetapi hak semua orang ada pada tempat dan keadaan yang sesuai. Slogan kemakmuran bersama dan tidak ada golongan yang tertinggal telah lama berkumandang.

Adakah ada lagi rakyat Malaysia yang ingin membawa Malaysia kebelakang sehingga perlu mengulangi lagi perancangan pembangunan ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Program sosio-ekonomi DEB yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1990) adalah bermatlamat membasmi kemiskinan dan membetulkan ketidakseimbangan ekonomi semua rakyat selepas kestabilan politik tergugat.

Perdebatan terbuka walaupun secara ilmiah berkaitan UiTM, mungkin tidak sesuai kerana kewujudan UiTM adalah mengikut undang-undang dan perlembagaan seperti Akta Universiti Teknologi MARA dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kecuali mengundang keadaan yang tidak selesa dalam negara.

Mungkin lebih sejuta alumni dan lebih 175,000 pelajar UiTM di 34 cawangan boleh memahamkan rakyat Malaysia tentang kedudukan UiTM.

— BebasNews

Leave a Reply