SEBAHAGIAN daripada Ahli Majlis Persatuan Kriket Melayu Malaysia bagi musim 2024-2026 bersama Azim (duduk dua kiri) dan Tan Sri Dr. Suleiman Mohamed (duduk, dua kanan)

KUALA LUMPUR — Hala tuju sukan kriket di Malaysia sekarang dipersoalkan berikutan pencapaian merosot hingga ke tahap rendah.

Pasukan peringkat usia seperti skuad bawah 19 tenggelam terus berbanding aksi yang disegani dari tahun 2002 hingga 2017.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi hairan apa sebenar menjadi keutamaan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) selama tujuh tahun sejak  2017 hingga sekarang.

”Kriket Melayu menghentikan semua program pembangunan kriket nasional kendaliannya pada Ogos 2017 sekali gus menyerahkan ‘hak’ kepada MCA dalam pembangunan pemain tetapi malangnya, jumlah peserta semakin berkurangan dengan kekentalan sebagai pemain hebat pula menjunam,” kata Abdul Azim sewaktu mempengerusikan persidangan agung tahunan Kriket Melayu pada 25 Mei 2024.

ANTARA ahli yang hadir termasuk bekas penjaga wiket ternama Malaysia, Mohd. Haris Abu Baker (depan, kanan).

Bagi Abdul Azim, kegiatan membangunkan pemain dari peringkat akar umbi perlukan jurulatih berwibawa sama ada dari dalam atau luar negara; bukan mengharapkan program daripada kumpulan yang sudah ketinggalan zaman.

”Atas desakan ramai, Kriket Melayu memulakan sebuah projek melatih pemain sebuah sekolah di Kuala Lumpur dua bulan lepas. Tetapi cukup malang, kegiatan ini tidak disenangi pihak tertentu.

”Apa ini? Ia hanya program sekolah dan persatuan kami cuma menyenaraikan jurulatih untuk membantu,” kata Abdul Azim yang juga bekas Timbalan Presiden MCA, sewaktu era Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar sebagai presiden.

Juga difahamkan ada sekolah lain yang ingin mengatur perlawanan juga diberi amaran agar tidak bermain dengan skuad bimbingan Kriket Melayu.

JURUAUDIT Dalam Kriket Melayu musim 2022-2024, Shamri Shamsul Anuar (dua, kanan) dan Azemi Azizan (tiga, kanan) turut sama menghadiri persidangan.

”Saya juga berharap semua pemain yang hebat-hebat dalam program Kriket Melayu dahulu kembali membantu dan memikirkan semula cara bagi memulihkan aksi cemerlang sepertoi zaman mereka dahulu,” katanya.

KEPEMIMPINAN KRIKET MELAYU 2024-2026

Yang Dipertua: Tidak dicalonkan.
Timbalan Yang Dipertua: Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Naib Yang Dipertua: Tan Sri Dr. Suleiman Mohamed & Iliyas Jamil.
Setiausaha Agung: Mohd. Najib Hassan
Setiausaha Kewangan: Rosmanizam Abdullah
Timbalan Setiausaha Agung: Dewi Hartaty Kholid & Nazmir Sungip
Timbalan Setiausaha Kewangan: Ramli Din.
Ahli Majiis Biasa: Ir. Dr. Zainal Fitri Zainal Abidin, Faris Almas-Lee, Sanah Manap, Muammar Isaruddin Mat Isa, Amir Amsyar Zamzam, Arina A. Rahim.
Juruaudit Dalam: Norharif Hamidon & Rosle Azmi

— BebasNews

Leave a Reply