Weng San (depan lima dari kiri) bergambar bersama piala pusingan pembahas terbaik ADUN Muda Selangor di Shah Alam.

SHAH ALAM — Tiada amalan pilih kasih untuk sesiapa menyertai program literasi sistem demokrasi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muda Selangor 2024.

Menurut Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, sesiapa sahaja golongan belia tidak mengira ahli parti kerajaan atau parti pembangkang, ahli persatuan belia atau perseorangan yang berumur antara 18 hingga 35 tahun layak menyertai program yang telah tiga kali diadakan.

“Tiada pilih kasih untuk masuk ke program ini. Syarat utama seorang pemohon mestilah pengundi berdaftar di kawasan DUN di negeri ini, warganegara Malaysia fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Kita ingin menjadikan DUN Selangor inklusif untuk semua. Kita tidak mahu orang melihat DUN Selangor untuk orang atas,yang ada gelaran sahaja, ada kelas sahaja, hingga pelajar dan orang awam takut untuk masuk ke sini,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian ADUN Selangor 2024 di sini hari ini.

Weng San menegaskan, untuk menarik minat peserta menjadi ‘ADUN’ selama sehari, buat julung-julung kalinya pihaknya
menyediakan piala pusingan untuk pembahas terbaik dalam kalangan 56 peserta tersebut.

Katanya lagi, program yang bermula pada tahun 2015 oleh Speaker, Hannah Yeoh tersebut, diharap dapat memberi pengalaman sebenar sebagai wakil rakyat kepada pemimpin muda di negeri ini untuk membentangkan usul dan berbahas seperti ADUN dan Ahli Parlimen sebenar.

“Apa yang lebih menarik peserta-peserta akan berpeluang membentangkan usul yang memberikan impak kepada golongan belia pada esok hari (28 Mei). Enam usul yang mencakupi isu pendidikan, pekerjaan, pengangkutan awam,rumah,tebatan banjir dan isu penyalahgunaan lesen perniagaann akan dibentangkan.

“Saya sendiri akan mempengerusikan sesi sidang DUN tersebut esok bersama Timbalan Speaker, ADUN Bukit Antarabangsa, Kamri Kamaruddin,”ujarnya.

— BebasNews

Leave a Reply