Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli

Oleh Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli

BARU-BARU ini saya membaca artikel hasil penulisan Prof Datuk Dr. Ahmad Murad Merican yang membicarakan tewasnya idealisme yang pernah menunjangi “kewartawanan kampus” sekaligus menyaksikan terbantutnya percambahan serta perdebatan isu-isu semasa melewati persekitaran universiti, tempatan serta antarabangsa.

Artikel beliau mengingatkan kepada pengalaman 27 tahun lampau ketika saya serta rakan-rakan terlibat secara langsung dalam penghasilan akhbar “Berita Kampus (BK)”. Ketika itu Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (PPKomunikasi,USM) menerusi program akademiknya memerlukan kami memenuhi keperluan praktikal dalaman ketika berada di tahun akhir pengajian.

Penghasilan BK sememangnya satu pengalaman serta pendedahan awal yang sangat berharga kepada kami ketika itu sebelum menyertai alam pekerjaan yang cabarannya sudah tentu lebih hebat. Saya sebenarnya terlibat lebih awal dengan BK berbanding rakan-rakan sekuliah apabila mengikuti “senior” seperti Zulkifli Jantan, Mohd Rodi, Sharifah Suri dan Azrina Ahzan sekadar menyebut beberapa nama. Suatu yang pasti ialah saya dapati semangat mereka dalam mengenengahkan berita-berita yang bersifat penyiasatan yang kritikal sifatnya telah menjadikan BK ditunggu-tunggu bukan sahaja mahasiswa dan mahasiswi USM tetapi yang lebih utama ialah kakitangan serta para pentadbir universiti.

Apabila saya dan rakan-rakan terlibat secara langsung dalam penghasilan BK kami diberikan kebebasan dalam menentukan konsep, amalan serta arah tujunya tanpa membelakangkan polisi akademik universiti. Namun satu perkara yang cukup kami hargai ialah penerapan aspek “empowerment” oleh penasihat-penasihat BK yang juga adalah para pensyarah PPKomunikasi, USM seperti allahyarham Prof. Madya Dr. Mansor Ahmad Saman (TS Lanang), Hj. Haroon Awang serta Dr. Adnan Hussein (Dato’). Suatu yang pasti ialah BK bukanlah suara rasmi universiti dan pengampangnya adalah kami sendiri pelajar yang mendokong penerbitannya dengan penuh tanggungjawab dengan tidak mengenepikan aspek objektiviti dalam pelaporan walaupun hanyalah sebagai akhbar kampus.

Dalam menghasilkan BK kami berbincang dan menentukan arah editorialnya yang mengambil kira isu-isu semasa yang melibatkan universiti, negara dan antarabangsa. Kadang kala terdapat isu yang melibatkan universiti dan polisinya memberikan kesan kepada mahasiswa dan mahasiswi USM. Walaupun agak sensitif namun ia perlu diketengahkan dan pernah satu ketika BK dikatakan bakal ditutup akibat daripada pendedahannya yang agak robust namun itulah antara yang mengajar daya tahan kami sebagai bakal wartawan yang kemudiannya terdedah secara langsung dengan pelbagai dugaan dan rintangan dalam bidang kewartawanan negara.

Murad Merican dalam artikelnya menyatakan rasa dukacita terhadap surat khabar kampus yang tidak lagi menjadi amalan seharian di universiti-universiti di Malaysia ketika ini. Ditambahkan pula dengan hambatan platfom media digital yang rata-ratanya telah mengambil alih peranan akhbar konvensional. Saya bersetuju bahawa pada hari ini pemahaman dan penghayatan terhadap amalan surat khabar dan kewartawan kampus tidak seperti 30 mahupun 50 tahun dahulu. Keadaan ini adalah disebabkan beberapa perkara yang berkaitan dengan aspek kurikulum, tempoh masa pengajian, polisi universiti serta sokongan para pensyarah yang bertindak sebagai penasihat kepada penerbitan sesebuah surat khabar kampus.

Keadaan ini dapat saya kongsikan iaitu ketika menyertai Universiti Teknologi MARA (UiTM) saya telah dipertanggungjawabkan mengajar dan membimbing pelajar-pelajar kewartawanan dalam menghasilkan surat khabar kampus yang dikenali sebagai Shah Alam Jurnalis. Ia bukanlah satu yang mudah dan tidak boleh dibandingkan dengan amalan di USM kerana dari sudut tempoh masa pengajian, jumlah mata kuliah yang diambil oleh para pelajar, polisi-polisi universiti serta sokongan kewangan dalam penerbitan akhbar kampus memainkan peranan yang sangat penting. Namun ia bukanlah boleh dijadikan sebagai sebab atau alasan kepada terbantutnya mahupun hilangnya idealisme akhbar kampus.

Shah Alam Jurnalis berjaya diterbitkan dan sedikit sebanyak turut terpengaruh dengan pembawaan BK yang pernah saya usahakan ketika di PPKomunikasi USM. Lampiasan itu telah menjadikan Shah Alam Jurnalis sebagai wadah dan ruang bersuara, perdebatan idea dan pendapat yang kadang kala agak kontroversi sifatnya tetapi masih dalam ruang lingkup mahupun korpus kewartawanan.

Perkara yang lebih utama ialah memiliki tenaga pengajar yang sanggup untuk membimbing dan berkongsi pengalaman dengan para pelajar dalam penghasilan akhbar kampus. Keupayaan ini bukan hanya bersandarkan kepada retorik semata-mata tetapi lebih kepada bimbingan, tunjuk ajar yang melewati aspek teoritikal serta praktikal. Selain itu idealisme yang menunjangi surat khabar kampus turut memerlukan para pelajar untuk lebih bersosialisasi dengan keadaan persekitaran, menambah bacaan mereka bukan hanya melibatkan bahan ilmiah semata-mata tetapi separa ilmiah, berita-berita tempatan dan antarabangsa yang meliputi pelbagai platform.

Satu lagi perkara yang cukup signifikan ialah halu tuju pengajian kewartawanan itu sendiri perlulah jelas dan menyokong penyuburan surat khabar kampus menerusi kurikulumnya yang dinamik dan tidak hanya menyokong status quo! Hanya dengan kefahaman yang jelas terhadap perlunya kurikulum pengajian kewartawanan seperti itu maka barulah konsep dan amalan surat khabar serta kewartawanan kampus dapat difahami secara wajar dan terpimpin. Sekaligus bakal menyaksikan ia diinstitusikan dan menjadi amalan seharian di setiap universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian kewartawanan dan komunikasi yang rata-ratanya telah mencedcah lebih lima dasawarsa.

Hakikatnya ialah kelumpuk akademik hari ini telah menggalas pelbagai tanggungjawab dan terus komited dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Pandangan yang diutarakan oleh Murad Merican bahawa pendidikan dan latihan kewartawanan dalam kampus hanya untuk memenuhi keperluan kursus serta bertujuan untuk membodek pentadbir universiti adalah satu generalisasi umum. Bagi saya sebagai seorang ahli akademik yang mengkhusus dalam bidang kewartawanan, wacana mahupun perdebatan yang berkaitan dengan korpus komunikasi memerlukan kesungguhan dan tahap kecekalan yang tinggi dalam menongkah arus perubahan semasa. Adalah jelas bahawa peri pentingnya ketepatan fakta, kesahihan maklumat, percambahan dan pencerahan pendapat selain memastikan aspek etika dan integriti perlu diterap dalam aspek pengajaran dan pembelajaran sekaligus memastikan penerusan idealisme kewartawanan kampus.

Adakah kita bersedia dan memiliki elemen endurance dan fortitute yang bakal menghentam dari pelbagai arah?

*Mohd Amirul Akhbar adalah bekas Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan, Universiti Teknologi MARA dan terlibat secara langsung dalam mengupas isu berkaitan kewartawanan, media baru dan ekonomi politik

— BebasNews

Leave a Reply