Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap ketika sidang media hari ini. -- Berita Harian

KUALA LUMPUR — Seorang pengawal pengiring kepada orang kenamaan (VVIP), kini disiasat polis kerana disyaki memukul seorang lelaki kurang upaya bisu dan pekak di sebuah hotel dekat KL Sentral semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa OKU berusia 46 tahun itu yang juga pemandu e-hailing dipukul ketika berada di lobi hotel berkenaan.

“Saya sahkan, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Pada masa ini, tiada sebarang tangkapan dibuat. Kita sedang menyiasat kes berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa menerima tempahan untuk mengambil empat penumpang di hotel berkenaan pada jam 11.40 pagi.

Ketika menunggu penumpang di lokasi terbabit, rombongan kenamaan itu juga hendak bergerak keluar dari hotel sama.

Seorang pengawal pengiring VVIP terbabit dikatakan bertindak mengetuk cermin kereta mangsa mengarahnya beredar dari lokasi terbabit.

Pengawal itu juga didakwa menumbuk kepala mangsa supaya mengalihkan keretanya.

Susulan kejadian itu, mangsa diarah oleh polis menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Polis juga mengambil telefon mangsa dan kamera papan pemuka kereta digunakan bagi membantu siasatan. – BH

Screengrab – Media sosial

Sumber asal — https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/05/1252640/polis-siasat-dakwaan-pengawal-pengiring-vvip-pukul-pemandu-e-hailing-oku

— BebasNews

Leave a Reply