Seyyed Ebrahim Raisi. Photo Wikipedia.
Oleh Ismail Hashim Yahaya

DI TENGAH-TENGAH kesedihan yang menyelubungi Iran di atas kematian Presidennya, Ebrahim Raisi, tidak keterlaluan jika dikatakan beliau adalah antara tokoh penting bersama-sama Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang merintis ke arah pembentukan orde dunia baharu yang menjadi realiti sekarang.

Sepanjang tiga tahun menjadi presiden, tiga aktor utama dalam perhubungan antarabangsa ini telah menjalin persefakatan Eurasia dalam pemacuan ke arah pembentukan dunia multipolarit yang sedang disaksikan sekarang.

Tiga aktor ini telah menjadi ancaman kepada kuasa hegemonik Barat khusus Amerika Syarikat (AS) sebagai aktor utamanya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin sifatkan Raisi sebagai rakan strategik yang sangat dipercayai dan akui selesa bekerjasama dengan beliau selama ini.

Putin juga memberi jaminan akan memastikan hubungan baik dengan republik itu berterusan.

Usaha gigih Raisi berjaya meletakkan Iran sebagai kuasa yang digeruni bersama China dan Rusia, tiga negara dengan warisan tamadun silam yang hebat telah membentuk sistem baharu dalam hubungan antarabangsa.

Iran-Rusia-China atau singkatan IRC berada dalam kesaling hubungan melalui hubungan dua hala, kerjasama strategik yang saling melengkapi; mereka adalah negara anggota BRICs dan juga Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) dan kemuncak hubungan tiga serangkai ini direalisasikan kepada sidang kemuncak antara Putin dan Presiden China, Jinping di Beijing minggu lepas.

Dalam hubungan ini kedua tokoh besar Iran ini, Raisi dan Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian meninggalkan warisan atau legasi yang sukar dilupakan terutamanya dalam pembentukan geopolitik multipolariti.

Di bawah mereka berdua, Iran menjadi negara anggota BRICs, ahli penuh SCO dan pemegang taruh utama dalaa Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU). Ia adalah tiga organisasi multilateral yang merintis dan mengacuankan era baharu dalam perhubungan antarabangsa.

Kebolehan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian dalam berbahasa Arab merupakan kelebihan kepada Iran dalam memacu hubungan diplomatic dengan negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Libya, Sudan dan Djibouti sehingga membawa kepada pemulihan hubungan diplomatic dengan Arab Saudi.

Di bawah kepimpinan Raisi, Iran telah melancarkan serangan ke atas Israel yang mengejutkan dunia antarabangsa, menunjukkan Iran bukan sebuah negara lemah dan boleh diperkota-katikkan dan memecahkan mitos Isreal adalah negara yang dilengkapi senjata yang canggih.

Jalinan hubungan teguh Iran-Rusia dalam kerjasama perdagangan, ketenteraan dan politik telah membawa kepada Putin dan Raisi bersetuju dalam perjanjijan komprehensif dua hala yang dipersetujui dua tahun lalu.

Draf asas dokumen telah sedia dan akan ditandatangani oleh pengganti Raisi, mengukuhkan hubungan akrab antara kedua negara.

Matlamat sama Iran, Rusia dan China dalam menentang koloniaslisme baharu dan hegemoni AS dan Barat ke atas negara Selatan telah mengerakkan mereka melakar sistem perhubungan antarabangsa baharu yang menekankan kepada jalinan kerjasama, dialog dan saling memahami antara budaya dalam ketamadunan.

Iran yang berhadapan dengan sekatan maut daripada AS dan Barat selama empat dekad telah belajar daripada Rusia bagaimana berhadapan tsunami sekatan dan China dalam ancaman perang dagang AS ke atas China.

Dalam berdepan dengan kemelut ini, koridor jalan keretapi China-Eropah dibentuk bagi penghantaran barangan China ke Asia Tengah dan kemudian dieksport ke Eropah.

Kerjasama Rusia dan Iran contohnya dapat dilihat dalam Koridor Pengangkutan Antarabangsa Utara-Selatan (INSTC), terutamanya barangan dari Astrakhan di Laut Kaspia dihantar ke pelabuhan-pelabuhan Iran dan melalui jalan darat ke Teluk Parsi.

Di samping itu, pada 13 Mei lepas, India dan Iran telah bersetuju ke arah kerjasama selama 10 tahun dalam menubuhkan laluan perdagangan yangmenghubungkan Iran, India dan Afganistan melalui Pelabuhan Chabahar.

Langkah ini telah menjejaskan harapan AS yang ingin merealitikan laluan perdagangan Koridor India-Timur Tengah- Eropah (IMEC) yang menghubungkan India dengan Eropah, Timur Tengah dan negara haram Israel.

Kepentingan kerjasama ini dapat dinilai daripada kenyataan pemangku Menteri Luar Iran, Ali Bagheri Kani yang mengungkapkan kedudukan lokasi istimewa geopolitik Iran yang merangkumi Asia Barat, Teluk Parsi, Rantau Laut Kaspia, Asia Tengah dan wilayah Eurasia yang luas, di mana usaha Raisi ini telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan potensinya ke semua aktor serantau.

Bayangkan gabungan ketiga tamadun besar – Iran, Rusia dan China membentuk negara-negara ketamadunan yang berdaulat dalam geopolitik, peta baharu dalam perhubungan antarabangsa.

Asas kepada kejayaan ini dapat dirintis daripada perlancaran Jalan-Jalan Sutara baharu pada 2013. Jalan-jalan Sutera Baharu dan Inisiatif Belt dan Road (BRI) merupakan projek yang bukan sahaja meliputi geopolitik tetapi merangkumi geoekonomi. Ia sejajar dengan perkembangan SCO sebagai mekanisme pertahanan dan ekonomi.

Ketiga-tiga IRC ini sedang bergerak ke arah haluan baharu sebagai negara ketamadunan kedaulatan alami yang.

*Penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply