Kriket MSSM: Kenapa nafikan tradisi berpakaian putih?

1
1066

DENGAR kisah Pesta Kriket Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tahun 2020 akan menggunakan baju warna-warni. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori; bawah 12 dan bawah 18.

Jika pakai baju warna-warni, ia akan menggunakan bola putih bukan merah lagi. Wah bukan main impian tinggi lagi pihak MSSM terutama sekali Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan nak menukar jersi warna-warni pula.

Nak tukar menukar corak pemakaian ia akan menular kepada penggantian peralatan  juga. Pemain memerlukan penahan kaki berwarna, bola bertukar ke putih, kasut juga boleh jadi berwarna juga. Baju dan seluar tentu pelbagai warna.

Pertandingan kriket di merata dunia termasuk negara-negara elit atau test seperti India, Pakistan, Sri Lanka, England, Hindia Barat, New Zealand, Australia serta Afrika Selatan masih mengekalkan warna putih sebagai pakaian rasmi kriket untuk peringkat usia sebegini. Kalaulah kita bertanya mengenai sukan kriket, jawapannya mestilah bola merah dan baju dan seluar putih. Inilah tradisi kriket di mana-mana.

Apakah alasan hebat di Malaysia nak menukar sejarah permainan ini? Mungkin buat masa ini banyak perlawanan over terhad menggunakan pelbagai corak dan berwarna-warni.

Sejarah pertandingan memakai jersi warna-warni disebabkan ia berbentuk komersial. Bola menjadi putih kerana ia sering dimainkan sehingga ke waktu malam yang gelap.

Kemudian dalam pertandingan peringkat usia pula, ia jarang-jarang digunakan dalam pertandingan antarabangsa tetapi secara terhad. Manakala yang selebihnya tidak terkecuali disebabkan perihal komersial dan ada kaitan dengan penaja.

Tetapi, apalah halnya dengan MSSM? Sejarah kriket tidak dapat dipisahkan dengan tradisi jersi serba putih. Pemain peringkat awal seperti kategori bawah 12 mestilah diberikan pembelajaran mengenai sejarah permainan ini. Jangan pula apabila ditanya, mereka akan menyebut kriket dimainkan dengan jersi warna-warni dan bola pula putih. Memalukan.

Difahamkan barisan pengerusi teknik peringkat negeri majoritinya telah menekankan agar pakaian warna-warni digunakan sejak empat tahun lepas sehinggalah pegawai dan pengerusi teknik MSSM terpaksa akur. Jersi putih dengan jenama hebat ada dijual di mana-mana sahaja di negara ini.

Kefahaman pegawai Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan dalam kriket pula masih cetek atau kurang tahu langsung. Sebahagian hanya mendengar cakap-cakap di sana sini. Mereka ini perlulah melakukan tinjauan di negara luar agar tidak terjerumus sehingga asal-usul kriket dinafikan oleh pegawai-pegawai peringkat negeri yang sebahagiannya tidak pernah bermain kriket langsung.

Pertandingan kriket di MSSM perlu menjadi batu loncatan pemain dan semestinya mengamal dan menggunakan asas kriket sebenar. Mereka perlu dilengkapkan jersi sebenar kriket iaitu putih dan menggunakan bola merah.

Janganlah hanya nak menjadi pak turut lantas pengamalannya tidak betul. Kementerian Pendidikan mesti mempertahankan sejarah dan tradisi sebetul-betulnya.

Juga janganlah hanya ingin menganjur seperti melepas batuk di tangga. Format bagi acara bawah 18 itu juga perlulah ditingkatkan jumlah over hingga 40 atau 50 kerana tahap permainan di Malaysia bukan di paras rendah lagi.

Pengarah bahagian sukan dan ketua pengarah kementerian ini jangan pula beranggapan perkara ini kecil. Pesta Kriket MSSM sama ada acara bawah 12 atau 18 mesti serba putih.

—BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here