KANGAR — Semua pihak khususnya parti politik diminta tidak sewenangnya menggunakan hadis Nabi dalam mencapai tujuan dan matlamat parti politik supaya agama Islam tidak disalah fahami oleh masyarakat umum.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, dirinya terpanggil untuk memberikan penjelasan agar perbuatan menggunakan hadis bagi membenarkan sesuatu perbuatan demi memenuhi kehendak politik memberikan imej yang salah terhadap Islam.

“Beberapa pihak khususnya, rakyat Malaysia terdiri daripada Islam dan bukan Islam bertanya apakah benar bahawa Nabi tidak membenarkan orang politik mengistiharkan harta?

“Bagi yang bukan Islam mereka seolah kecewa jika demikian ajaran Islam, walhal Nabi sendiri dalam pentadbiran kerajaannya memastikan para petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salahguna kedudukan.

“Baginda juga menegur harta yang dimiliki oleh para petugas kerajaan yang diperoleh dengan cara yang tidak betul menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari,” kata Mohd Asri dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook semalam.

Terdahulu, PAS menerusi Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menolak usul yang mewajibkan Ahli Parlimen, isteri dan anak wakil rakyat agar mengisytiharkan harta yang diperoleh mereka.

Penolakan itu dibuat beliau kerana tindakan mengumumkan harta kekayaan adalah ditegah oleh agama serta kebimbangan mengenai faktor keselamatan.

Mengulas lanjut mengenai hadis yang digunakan Tuan Ibrahim, Mohd Asri berkata hadis itu dinilaikan palsu kerana terdapat beberapa kecacatan perawi di dalamnya.

Mohd Asri berkata, malah dakwaan Tuan Ibrahim bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta individu dimaklumkan kepada pihak pemerintah tidak berasas sama sekali.

“Malah semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab juga memeriksa harta pegawai-pegawai yang dilantik dan mencatatkannya.

“Ini bagi mengawal supaya mereka tidak mengambil kesempatan mengumpul harta dengan cara yang salah melalui jawatan yang dipegang. Polisi ini sudah lama dijalankan oleh Umar al-Khattab dalam pentadbirannya,” katanya.

Beliau berkata, dalam soal pengisytiharan harta, pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan pentadbiran yang baik.

“Jangan kita terkongkong dan mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak,” katanya.

-Berita Harian

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here