Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

TERBIASA dengan soalan bila nak dapat anak selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, Izzue Islam sudah tidak terasa hati dengan pertanyaan begitu.

Izzue yang mendirikan rumah tangga dengan Awin Nurin pada 3 Jun 2013 sudah terbuka untuk berbicara soal zuriat yang menjadi impiannya bersama isteri.

Jelas Izzue, siapa yang tak nak anak sebagai penyeri rumah tangga namun semua itu adalah ketentuan Allah untuk memberi rezeki kepada setiap pasangan suami isteri,  sama ada cepat ataupun lambat.

Sebagai insan yang percaya pada takdir, Izzue dan isteri tidak pernah berputus asa berusaha untuk memperoleh anak daripada darah daging sendiri.

Kata Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, walaupun ada yang mencadang agar mengambil anak angkat tapi beliau belum terfikir ke arah itu.

IZZUE Islam sedang berusaha untuk mendapat zuriat selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

“Memang ramai yang cadangkan supaya kami ambil anak angkat tapi buat masa ini tidak terfikir lagi ke arah itu sebab kami nak berusaha untuk dapat anak sendiri. Untuk mendapat anak sendiri, saya dan Awin merancang untuk membuat pemeriksaan kesuburan terlebih dahulu selepas itu barulah fikir untuk jalani rawatan selanjutnya.

“Rancangnya memang tahun ini tapi disebabkan kekangan kerja, selalu tertangguh. Apa pun kena pergi cepat sebab umur masing-masing semakin meningkat, takut kalau lambat nanti masalah lain pula yang timbul,” katanya terus terang.

Izzue yang ditemui pada sidang akhbar Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends, baru-baru ini berkata, apabila keputusan untuk menjalani pemeriksaan kesuburan dibuat, beliau perlu bekerja keras untuk membiayai kos rawatan kelak.

“Saya ni artis kalau tak kerja tak adalah pendapatan, sebab itu jugalah kenapa saya dan Awin selaku pengurus bekerja keras. Insya-Allah tahun depan kalau semuanya berjalan lancar seperti dirancang, saya tak adalah masalah fikirkan soal kos.

“Siapa tahu, untuk buat rawatan nanti perlukan kos banyak sebab itulah saya perlu fikir daripada pelbagai aspek. Saya harap usaha kami untuk memperoleh zuriat akan dipermudahkan Allah,” katanya penuh harapan.

Izzue yang sedang menjalani penggambaran telefilem Dosa Semalam, arahan Raja Mukriz Raja Ahmad, terbitan A.Aida Production Sdn. Bhd., bersama Janna Nick berharap impiannya untuk bergelar seorang bapa dimakbulkan.

Selain itu, pada setiap Jumaat pukul 8.15 malam wajah Izzue dapat dilihat bersama Sissy Iman dalam program Digi Extra Lawak di saluran Astro Warna (saluran 132).-

—BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here