Neelofa tunai haji lagi

0
961
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

REZEKI setiap insan berbeza. Ada yang terpaksa menunggu lama sebelum berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Namun tidak bagi Neelofa kerana dalam tempoh terdekat sahaja, beliau berpeluang menunaikan haji buat kali kedua selepas menunaikan ibadat tersebut pada 2016.

Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 30, memberitahu beliau merancang untuk menunaikan haji pada 4 Ogos ini bersama dengan ibu dan dua adik lelakinya.

“Pasal haji ni kalau boleh saya tak naklah bising-bising sebab proses mendapatkan visa itu tak lengkap lagi. Apa-apa saja boleh berlaku tapi saya minta semua orang doakan saya supaya perkara itu dipermudahkan dan saya boleh pergi sekali lagi bersama dengan keluarga,” katanya yang begitu teruja untuk ke Mekah.

Jelas Neelofa, beliau begitu teruja kerana kali ini mempunyai lebih masa untuk membuat persediaan tentang segala persiapan yang perlu dibawa ke sana.

“Menariknya saya pernah ada pengalaman ke sana, jadi untuk pergi sekali lagi saya sudah tahu apa yang perlu dibawa ke Mekah dan Mina.

“Sebagai persiapanke sana, saya baca banyak buku. Selain itu ada ustaz datang ke rumah untuk terangkan kepada dua adik lelaki saya yang tak pernah pergi ke sana lagi,” ceritanya sewaktu ditemui pada sidang akhbar program Naura Shares edisi Haji di Petaling Jaya, semalam (20 Julai 2019).

Kata Neelofa, mengikut perancangan asal, beliau mahu menunaikan haji buat kali kedua pada tahun lepas bersama ibunya (Noor Kartini Noor Mohamed) tapi tak berkesempatan.

“Sepatutnya tahun lepas lagi saya dan mama nak pergi haji tapi disebabkan atuk sakit, kami tangguhkan dulu. Kalau ikutkan idea saya setiap tahun saya nak pergi haji. Tahun ini bila berpeluang, saya tak fikir banyak terus setuju.

“Saya menyimpan hasrat untuk menunaikan haji setiap tahun mungkin disebabkan pengalaman saya setiap kali buat umrah itu Allah bukakan pintu hati untuk terus memperbaiki diri menjadi seorang Muslim yang lebih baik dan baiki hubungan saya dengan Allah,” jelasnya yang memilih untuk melakukan haji tamattuk.

Pengacara program MeleTop itu yakin setiap kali menunaikan umrah, beliau dapat memperbaiki hubungannya dengan Allah dan sebab itulah pintu hatinya sentiasa terbuka untuk ke Tanah Suci.

Selain mahu menunaikan fardu haji setiap tahun, Neelofa juga berhasrat untuk memperbanyakkan kunjungannya ke Mekah menerusi ibadat umrah.

“Saya tak boleh lupa pengalaman pertama sewaktu di Arafah, itu merupakan momen yang terbaik dalam kehidupan saya. Selain itu, saya juga dapat masuk dalam kawasan Raudhah masa orang tak ada.

“Masa tu saya pergi dengan pihak Tabung Haji, dua tahun lepas. Masa tu pihak atasan bawa masuk, kira rezeki saya waktu itu sebab dapat dekat dengan makam Rasulullah SAW.” Imbasnya tentang kenangan manis ketika di Tanah Suci.
Kata Neelofa, beliau mudah menangis ketika berada di kawasan Raudhah Masjid Nabawi, Madinah berbanding di Mekah kerana di situ terdapat jasad Nabi Muhammad SAW.
 
MAHU KONGSI TERJEMAHAN AL-QURAN

Bagi memudahkan dirinya memahami dan mendalami maksud ayat suci al-Quran, Neelofa gemar membaca terjemahan tersebut di YouTube.
Sayang tak banyak terjemahan surah al-Quran yang dibuat dalam bentuk audio dan kebanyakannya dalam bentuk penulisan.

“Saya rasa sedikit terganggu bila baca al-Quran sebab selepas itu nak baca tafsiran pula. Kadang-kadang boleh terlepas pandang maksud tafsiran dengan ayat yang sepatutnya.

“Pada saya adalah lebih mudah, bila saya baca sebaris ayat dan kemudian ada terjemahan melalui audio. Demi untuk memudahkan pemahaman sendiri, saya terfikir nak buat sesuatu.

“Bila saya tunjuk pada kawan-kawan, mereka kata idea itu bagus dan disebabkan ingin berkongsi kemudahan itu dengan orang lain, saya bercadang untuk buat sendiri,” katanya.

Untuk bacaan, Neelofa berminat untuk menggunakan bacaan qari Waheed Zafar Qasmi dan beliau sendiri membacakan terjemahan.

Untuk permulaan, katanya, beliau hanya akan merakam surah yang pendek dahulu. Untuk fasa berikutnya barulah dirakam surah pilihan.

“Saya nak lengkapkan seluruh al-Quran tapi kita akan mula dengan surah pendek dulu. Fasa kedua dengan surah pilihan dan fasa ketiga adalah untuk melengkapkan seluruh al-Quran.

“Saya beritahu pada kru yang saya nak buat itu semua dengan sempurna. Nak buat rakaman di studio, dapatkan orang yang boleh melihat dan semak bacaan terjemahan saya,” jelasnya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here