Penggiat seni tidak setuju guna istilah arca untuk papan tanda terkini Putrajaya

0
841
Gambar atas: NST

 

Beberapa penggiat seni tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘arca’ bagi merujuk mercu tanda terkini di Putrajaya yang diilhamkan Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Maaf, itu bukan arca. Cuma papan tanda tiga dimensi.

“Tak pasti sama ada pembuat itu sendiri menamakan ia sebagai arca, atau silap wartawan guna istilah,” kata Suddin Lappo, pelukis kontemporari yang bergiat aktif dalam arena seni sejak 1996.

Semalam, Bernama melaporkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hadir merasmikan “arca Putrajaya” yang terletak di Dataran Putra, Presint 1.

Majlis perasmian turut dihadiri Presiden PPj Dr Aminuddin Hassim.

Aminuddin menjelaskan, imej grafik pada perkataan itu akan ditukar setiap enam bulan sekali yang disesuaikan dengan tema semasa seperti sambutan hari kebangsaan.

“Perdana Menteri amat berpuas hati dengan rekaan arca dan mahu lebih banyak idea menceriakan Putrajaya dapat dilaksanakan di masa depan,” kata Aminuddin dipetik sebagai berkata.

‘Bawa maksud lebih besar’

Mengulas lanjut, Suddin memetik arca awam Syed Ahmad Jamal yang telah dirobohkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum ini sebagai contoh.

Jelas Suddin, istilah ‘arca’ membawa maksud yang “lebih besar” dalam arena seni.

“Tak ada masalah (jika mahu bina mercu tanda itu). Cuma tak perlulah di panggil arca.

“Dan lebih baik kalau sebuah arca awam (sebenar) yang dibina di kawasan itu. Baru gah kelihatan,” katanya.

Suddin antara lain dikenali dengan lukisannya, The Subtitle yang pernah ‘ghaib’ dari Balai Seni Visual Negara (BSVN).

Lukisan Suddin itu dilihat sebagai kritikan terhadap budaya bodek dalam masyarakat.

‘Pengarca tempatan’

Sementara itu, seorang kurator seni, Nur Hanim Khairuddin berkongsi pandangan sama bahawa mercu tanda berkenaan tidak sesuai dipanggil arca.

“Pada pendapat saya ia bukanlah arca dalam konteks seni halus. Lebih kepada papan tanda yang diolah secara kreatif.

“Kalau warna-warna yang ada sekarang agak berlaga dengan tona landskap keseluruhan. Nampak begitu kitsch (tidak bercitarasa). Tapi mungkin ramai pelancong suka. Instagrammable (mesra Instagram),” katanya.

Meskipun tidak menolak pembinaan mercu tanda itu, Nur Hanim berkata, kawasan berkenaan lebih sesuai dihias dengan arca awam seniman dan pengarca negara.

“Laman Putrajaya mesti diisi dengan arca awam oleh seniman-seniman pengarca Malaysia. Baru ada kelas.

“Pemilihan kena dibimbing pakar-pakar seni ataupun Balai Seni Negara supaya hasil kerja yang diletak itu bukan replika siput babi atau rambutan, durian dan lain-lain,” katanya yang juga editor dua jilid buku Naratif Dalam Seni Rupa Malaysia kepada Malaysiakini.

Jangan berhenti kerana dikritik

Penulis Hasmi Hashim yang sependapat berhubung penggunaan istilah ‘arca’ pula berkata, PPj perlu lebih peka dan tidak menjadikan projek seumpamanya “seakan-akan membodek perdana menteri”.

“Sebab kita tak boleh remehkan citarasa Dr Mahathir. Dia ada citarasa yang tinggi tapi sikap yang seakan-akan nak membodek perdana menteri ni boleh merendahkan citarasa perdana menteri.

“Saya rasa niat untuk bangunkan arca di bandar-bandar itu bagus tapi dia mestilah yang sesuai dan jangan terhenti di sini apabila dikritik.

“Apabila dikritik langsung tak nak buat. Itu pun silap juga. Harus dibuat arca ini seperti kota-kota yang bertamadun,” katanya yang menegaskan bahawa arca melambangkan imej dan indentiti dan maruah sesebuah kota.

Penulis lirik Awan Nano itu juga berkata mercu tanda berkenaan “tidak sedondon” dengan binaan sekitarnya.

“Putrajaya itu dibina keseluruhan dengan imej yang berprestij, sementara arca itu lebih macam pop art sikit.

“Daripada segi imej itu, dia agak tidak sedondon atau tidak secocok dengan apa yang telah terbina di Putrajaya,” katanya.

 

-Dipetik daripada Malaysiakini
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here