Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SELEPAS 28 tahun menunggu untuk menjayakan konsert berskala besar, kini impian anggota kumpulan Exists disempurnakan oleh Shiraz Projects.

Bukan satu tapi dua konsert bakal berlangsung iaitu pada 28 September 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam dan 5 Oktober 2019, di MES Theater at Media Corp, Singapura.

Menariknya, konsert yang ulung kali diadakan itu bakal menggabungkan kesemua anggota asal Exists iaitu Musa (bes), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalis kumpulan tersebut, Mamat dan Ezad.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1991 dan melalui pelbagai onak ranjau dalam industri muzik tempatan menganggap peluang yang diberi kepada mereka amat berharga dan sukar digapai sewaktu bernaung di bawah nama Exists.

Kumpulan yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu bermula dengan nama Exist dan selepas Mamat meninggalkan kumpulan tersebut pada 1994 dan digantikan dengan Ezad Lazim, nama kumpulan tersebut kekal sebagai Exists.

Sebenarnya untuk menjayakan konsert Exists Reunion bukanlah mudah kerana kesemua anggotanya ada komitmen masing-masing di tambah pula dengan kemelut yang berlaku sebelum ini, pengunduran anggota daripada Exists.

Seiring dengan peningkatan usia, masing-masing sanggup mengetepikan ego dan cuba untuk menyemarakkan semula nama Exists yang tak pernah padam dalam ingatan peminat muzik tanah air.

Atas niat mahu menghibur peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik mereka, anggota Exists kembali bersatu untuk menjayakan konsert Exists Reunion yang memperuntukkan sebanyak 8,000 tiket kepada peminat di Malaysia dan 1,400 untuk orang di Singapura.

Tiket-tiket yang berharga serendah RM130 hingga RM700 itu boleh dibeli menerusi www.myticketasia yang sudah mula dijual.

Tidak akan ada pengarah muzik yang diperlukan untuk menyusun atur persembahan nanti kerana kesemua anggota Exists kecuali vokalis amat pakar dalam bidang tersebut.

Menurut Ajai, untuk persembahan itu kelak akan diadakan susunan muzik baharu bagi lagu-lagu yang akan didendangkan oleh Mamat dan Ezad.

“Cara kami mudah saja, sewaktu berkumpul semua orang bebas melontarkan idea dan bila kata sepakat dicapai, jadilah gubahan muzik yang baharu. Untungnya Exists ni kerana kami masih bekerja di belakang tabir, jadi untuk menggubah atau membuat susunan muzik baharu tidak menjadi masalah. Masing-masing tahu bahagian mereka.

“Sekarang ini kami berlatih bahagian muzik dulu tapi biasalah vokalis tetap datang juga. Terasa seperti dulu-dulu dan untuk konsert selama dua jam itu, kami akan cuba mendendangkan seberapa banyak lagu yang boleh,” jelasnya yang ditemui selepas sidang akhbar pengumuman konsert Exists Reunion di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, Rabu lalu (24 Julai 2019).

Jelas Ajai, untuk konsert tersebut mereka cuba elak Mamat dan Ezad daripada menyanyi lagu secara medley atas alasan mahu penonton menyanyi bersama-sama.

“Kiri kanan pentas nanti akan ada skrin besar yang menayangkan lirik lagu untuk penonton. Tak best kalau ada penonton yang tahu nyanyi hujung-hujung saja.

“Kami mahu berkaraoke dengan penonton sebab lagu-lagu Exists kerap menjadi pilihan di pusat-pusat karaoke seperti Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Salju Di Danau Rindu dan banyak lagi,” katanya tersenyum.

Sempena dengan Exists Reunion ini juga Ajai berharap kepada peminat-peminat jangan lepaskan peluang untuk hadir ke konsert tersebut kerana beliau tak pasti anggota Exists mampu melakukan perkara yang sama di masa akan datang.

Sempena konsert itu juga, satu dokumentasi tentang perjalanan Exists akan dirakam selain persembahan konsert berkenaan. Kedua-dua produk tersebut akan dilancarkan pada November dan Disember nanti.

EZAD (kiri) dan Mamat, vokalis Exists.

Sementara itu, Ezad yang menyertai Exists pada 1995 berharap gabungan semula anggota Exists bakal mengimbau kenangan manis kepada peminat kumpulan tersebut.

Beliau yang turut menyertai program Muzikal Lawak Superstar berharap dalam persiapan menjayakan konsert tersebut, kesihatannya sentiasa baik.

“Sejak kebelakangan ini saya kerap keluar masuk hospital. Kalau ikutkan memang takut sebab kita tak tahu penyakit ni boleh datang bila-bila masa saja. Saya berdoa agar diberikan kesihatan yang baik.

“Saya bersyukur kerana kami berpeluang mengadakan konsert berskala besar ini pada masa sekarang, tak perlu tunggu lama. Saya tak sabar nak nyanyikan single baharu, Tak Berakhir bersama Mamat nanti. Single ciptaan Along, Ajai dan Musa yang juga sebagai penulis lirik dibuat khas untuk konsert Exists Reunion,” katanya.

Diharap penyatuan semula anggota Exists tidak akan berakhir untuk dua konsert itu sahaja kerana waktu era populariti, nama kumpulan tersebut turut mendapat perhatian peminat di Indonesia dan Brunei.

—BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here