Banglo moyang PM UK dijual RM396 juta

0
282

UNGGUL… Bagi warga Britain, Alexander Boris de Pfeffel Johnson bukanlah asing.

Kini, setelah beliau disahkan sebagai Perdana Menteri Britain baharu, kisah unik moyangnya mula diperkatakan.

Media Turki meraikan pelantikan Boris, cicit tokoh ternama era terakhir Khalifah Uthmaniah Turki, Ali Kemal yang pernah jadi Menteri Dalam Negeri sebelum lari dalam buangan ke England dengan memfokuskan pelbagai kisah hebat moyangnya.

Ini termasuklah rumah agam yang pernah dihuni Ali iaitu Zeki Paşa Waterside Mansion.

Rumah yang mempunyai bentuk ala istana kecil tepi laut di Istanbul itu bakal dilelong pada harga 550 juta lira (RM396 juta) sekali gus dianggap antara hartanah kediaman termahal dunia.

Dibina asalnya untuk panglima medan zaman Uthmaniah, Muşir Zeki Paşa, bangunan terletak di daerah Rumelihisan di bahagian Istanbul Eropah itu pernah didiami pelbagai keluarga elit Turki.

Nilainya agak mahal mungkin disebabkan ia memiliki panorama menghadap Selat Bosphorus yang pisahkan kota itu daripada benua Asia selain banglo ini ada 23 bilik tidur dan lapan bilik air.

Dengan tinggi lima tingkat, ia merupakan rumah agam paling besar di kawasan itu. Seorang pemandu pelancong dan pakar sejarah, Saffet Tonguç mengesahkan ia pernah dihuni Ali.

Ketika memaklumkan kepada stesen penyiaran tempatan NTV, dia memberitahu bahawa banglo ini dibina arkitek Perancis era Uthmaniah, Alexandre Vallaury pada separuh kedua abad ke-19.

Ali yang juga menantu lelaki kepada Zeki Paşa, pernah tinggal di situ ketika berkhidmat sebagai wartawan dan ahli politik kontroversi serta dianggap tokoh liberal zaman Sultan Abdul Hamid.

Terdapat lebih 600 banglo mewah sepanjang tebing selat itu dengan 366 buah daripadanya dilindungi sebagai bangunan warisan yang perlu dapat izin kerajaan jika mahu diubah suai.

—BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here