Perkasa penguatkuasaan bukan menuding jari

1
230
Foto: NSTP /ZUNNUR AL SHAFIQ

 

APABILA pemancing dijadikan sasaran awal punca pencemaran Sungai Selangor , ramai yang memberi pelbagai reaksi. Ada yang sinis. Kesimpulan awal, pemancing didakwa melakukan khianat dengan mengalirkan minyak diesel atau benzena ke dalam sungai itu. Ramai yang tanpa membaca maklumat sepenuhnya mendakwa, tidak masuk akal, pemancing membawa minyak atau diesel. Mereka hanya membawa umpan atau cacing. Untuk apa mereka membawa minyak?

Tetapi hakikatnya ada tong minyak di pontun yang dilaporkan sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu. Tidak pasti sama ada operasi berhenti sementara atau selama-lamanya. Tanpa menolak kemungkinan perbuatan khianat, fokusnya adalah kepada puncanya. Tong minyak ada di situ. Pemiliknya sudah tentulah pengusaha yang diberikan lesen beroperasi di kawasan itu. Mereka bertanggungjawab terhadap ‘keselamatan’ kawasan berkenaan.

Justeru langkah menahan dua lelaki pengusaha dan pekerja pontun di sungai  berkenaan diharap dapat menghuraikan persoalan sebenar bagaimana diesel (tanpa merujuk puncanya) boleh mencemarkan sungai berkenaan. Biarlah pihak berkuasa menyelesaikan masalah ini,  merungkai persoalan ini sama ada pemancing atau pemilik pontun yang bertanggungjawab.

Ketika pihak berkuasa mencari, mengesan dan menyiasat  siapa sabotaj, khianat atau dalang di sebalik pencemaran ini, fokus utama yang lebih penting adalah penguatkuasaan. Ini isu pokok supaya apabila berlaku kes seumpama ini, tidak mudah mana-mana pihak menuding jari atau cuci tangan untuk menyalahkan orang lain. Dalam erti kata lain mencari ‘kambing hitam’ untuk dikorbankan.

Tanpa mahu menyebelahi mana-mana  pihak, penguatkuasaan aktiviti melibatkan sungai ini amat penting.

Apakah langkah-langkah penguatkuasaan diambil terhadap mana-mana syarikat pengorek pasir di sungai bagi mengelakkan aktiviti mereka boleh mencetuskan punca pencemaran?

Sikap ambil mudah di lokasi strategik hanya akan memberi kesan buruk tanpa dijangka.

Sebarang kelemahan perlu dikenal pasti supaya pihak pengusaha benar-benar bertanggungjawab terhadap kawasan yang di bawah seliaannya. Syarat-syarat lesen perlu diikuti tanpa kompromi. Pemberi lesen atau penguat kuasa perlu turun padang, sekurang-kurangnya ‘minum kopi’  di lokasi. Pantau situasi, bukan hanya turun ke lokasi setelah sah berlaku pencemaran. Tunjauan berkala perlu dilakukan supaya syarat lesen atau permit dipatuhi sama ada secara teori atau amalan.

Isu pencemaran ini amat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa manusia. Maka ketegasan bahawa pelaku pencemaran boleh dikenakan hukuman dapat menakutkan orang ramai. Mungkin ketegasan itu mendorong mereka lebih bertanggungjawab. Memberi lesen bukan bermakna bebas melakukan apa sahaja. Pemilik lesen perlu bertanggungjawab sementara pemberi lesen pula harus melakukan pemantauan. Biar kedua-dua pihak ‘mematuhi’ syarat lesen berkenaan.

Berbalik kepada penguatkuasaan, jika kawasan pontun itu sudah tidak beroperasi sama ada sementara atau berterusan, adakah pihak syarikat boleh membiarkan kawasan itu terbiar tanpa pemantauan?

Jika ditutup secara kekal, adakah semua peralatan termasuk tong minyak boleh dibiarkan tersadai di situ? Jika ini berlaku, jelaslah kita sengaja mendedahkan diri kepada sabotaj atau khianat.

Amat malang jika pemberi lesen tidak ambil peduli apa yang berlaku dan dilakukan oleh pemegang lesen berkenaan. Tidak ada gunanya hanya menunggu laporan tiba di pejabat kemudian turun ke lokasi. Sepatutnya cegah sebelum parah atau mencegah lebih baik daripada berubat. Syarat-syarat pengeluaran lesen mungkin sudah ketat tetapi penguatkuasaannya pula mungkin longgar sehingga ‘dilanggaf’.

Belajarlah daripada kes pencemaran sebelum ini. Isu seumpama ini bukan kali pertama berlaku. Setiap kali pencemaran yang menyebabkan loji ditutup, maka pelbagai teori diberi berkaitan punca pencemaran ini. Contohnya pencemaran Sungai Semenyih yang berlaku tidak lama dulu  sehingga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup. Penutupan LRA Sungai Semenyih mengakibatkan gangguan bekalan air di 450 kawasan.

Sungai ini amat penting sebagai sumber air. Panjang sungai ini 37 kilometer dan terbahagi kepada tiga peringkat iaitu hulu sungai, tengah sungai dan hilir sungai. .

Sungai Semenyih bukan sahaja digunakan untuk membekalkan air kepada penduduk, bahkan ranting sungai seperti Sungai Tekala dijadikan pusat rekreasi kerana ada Air Terjun Sungai Tekala. Panjang Sungai Tekala kira-kira satu km sahaja, dengan ketinggian kira-kira 300 meter.

Hasil siasatan pihak tertentu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mendapati, kemungkinan punca pencemaran Sungai Semenyih adalah dari beberapa kawasan, iaitu zon perindustrian termasuk kilang haram, tapak pelupusan sampah, kawasan perkuburan dan tempat pertanian. Kebanyakan kawasan ini terletak di hulu sungai. Situasi ini juga berlaku disebabkan sikap orang ramai atau penduduk. Manusia gagal menghargai dan menjaga alam sekitar. Paling utama, sudah tentu pihak yang diamanahkan untuk memantau ‘sumber’ berkenaan supaya dalam keadaan ‘suci’.

Pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk mencegah sebelum parah termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Begitu juga dengan penduduk, wakil rakyat, NGO dan sebagainya – yang mungkin mempunyai maklumat sahih atau mengesyaki sumber itu terdedah kepada bahaya pencemaran. Setiap aduan perlu diambil tindakan. Jangan biarkan aduan tinggal aduan tanpa cuba menjenguk kawasan yang disyaki.

Pemantauan secara berterusan perlu dilakukan. Amat malang jika punca pencemaran itu disebabkan kehadiran premis haram sama ada kilang atau penempatan. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Adakah kerana kedudukan tersembunyi menyebabkan pihak berkuasa lambat bertindak atau menutup sebelah mata? Adakah pihak berkenaan hanya cepat bertindak terhadap gerai haram yang muncul pada waktu pagi, petang atau malam, sekadar peniaga mahu mencari rezeki tambahan yang halal walaupun tanpa permit berniaga?

Penguat kuasa jangan sekadar mencari ‘jenayah’ mudah di hadapan mata atau dalam kawasan bandar – contohnya seperti gerai atau tidak bayar parkir kenderaan tetapi juga perlu masuk ke kawasan berhampiran sungai.

Pencemaran adalah ciptaan manusia yang tidak tahu menghargai alam. Sungai dijadikan ‘tong sampah’ – tempat membuang pelbagai kekotoran sama ada industri, sisa makanan, sampah sarap dan pelbagai lagi. Bagi mengatasi sikap buruk manusia ini, penguatkuasaan amat penting supaya manusia tahu menghargai alam yang menghormati undang-undang. Ingatlah, alam sekitar adalah aset atau simpanan sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu

Kita tidak mahu setiap kali pencemaran, reaksi sama diberi iaitu menuding jari.  Ingatlah, pihak berkuasa di PBT, JPS, JAS juga adalah pengguna. Mereka juga ada keluarga. Jika tidak ‘mampu’ berfikir untuk kepentingan ramai, berfikirlah mengenai kepentingan keluarga jika bencana ciptaan manusia tidak disekat. Bertindaklah lebih cekap untuk melindungi alam ini. Jangan biarkan kerakusan pihak-pihak berkenaan menyalahgunakan ‘lesen’ yang diberi.

—BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here