Tiada kawasan di Perak diiktiraf sebagai tanah adat – MB

0
199
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Sesi 2 Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. NSTP/MUHAIZAN YAHYA

 

IPOH — Tiada kawasan di Perak yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk masyarakat Orang Asli, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, Perak tidak pernah mempunyai tanah adat untuk Orang Asli dan ia memang kekal termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Sebagai rakyat Perak,kita tidak pernah ada tanah adat untuk Orang Asli dan sebagai rakyat negeri ini juga kita sepatutnya perlu tahu jika di jalan raya, ada lampu merah kita kena berhenti begitu juga untuk isu ini, kita ada undang-undang.

“Jikalau ada segolongan NGO (badan bukan kerajaan) yang menyatakan kita perlu berjuang untuk menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli, bagaimana pula dengan kaum lain yang ada di Perak?

“Mereka juga boleh minta benda yang sama dan apakah akhirnya kita perlu bahagikan tanah kerajaan negeri sama rata tanpa mengikut perancangan? Ini adalah perkara yang amat membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, Sabtu lalu, yang meminta kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli dan memastikan masyarakat itu bebas mencari rezeki di hutan sambil meminta kerajaan negeri supaya lebih prihatin dan menjaga kebajikan Orang Asli.

Perkara sama juga disuarakan NGO, Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN) yang mahu kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli jika ikhlas membantu mereka.

Ahmad Faizal berkata, setakat hari ini kerajaan negeri kekal dengan pandangan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tiada tanah di Perak diiktiraf sebagai tanah adat.

Katanya, setakat ini juga kerajaan negeri tidak ada konflik dan sentiasa menjaga hubungan baik antara komuniti Orang Asli.

“Tidak dinafikan kita ada masalah kecil di kawasan Hulu Perak di mana ada sebahagian kecil masyarakat Orang Asli yang mengadakan halangan di kawasan pembalakan, ada juga di sesetengah kawasan membabitkan isu tanah perkuburan dan ada masalah perkampungan Orang Asli yang mempunyai geran bersama.

“Ada beberapa isu berbeza, namun hubungan kerajaan negeri dengan Orang Asli tetap dalam keadaan terbaik, jika ada pihak tertentu yang mahu menjuarai isu tertentu, janganlah babitkan kaum tertentu dengan kerajaan negeri.

“Konflik antara kaum ini tidak bagus dan tolong jangan melakukan provokasi dan mewujudkan konflik antara kaum (khususnya Orang Asli) dengan kerajaan (negeri),” katanya.

Dalam perkembangan lain,mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Saarani Mohamad, mendakwa semua ADUN UMNO tidak akan menyerahkan borang pengisytiharan harta sebagaimana diputuskan DUN kepada Speaker, Datuk Ngeh Ko Ham sebaliknya akan terus menyerahkan borang berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Faizal berkata ia terserah kepada mereka.

Katanya, selagi ada usaha untuk mengisytiharkan harta, itu adalah satu perkara yang baik.

“Cuma kalau UMNO berhasrat untuk tidak menghormati institusi DUN, siapalah saya untuk mengajar mereka.

“Jika gagal memahami dan memberikan penghormatan kepada institusi ini (DUN) apa yang kita boleh buat?,” katanya.

-Berita Harian
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here