GST hilang, caj letak kereta muncul

3
464

MASIH ingat ‘Ayu 20 sen’ dalam filem Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok? Ayu adalah watak ‘pengutip cukai’ simpan rahsia kakaknya Zaiton yang bercinta dengan Sudin. Begitu juga aksi di Penambang Sampan Sungai Kemunting dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Duit tambang dikutip selepas penumpang naik ke penambang. Bagi yang ‘sewa’ payung di atas sampan milik pendayung pula dikenakan bayaran 5 sen. Begitulah pelbagai kaedah ‘mengutip hasil’. Apa sahaja yang boleh dijadikan sumber pendapatan akan dilakukan dengan menggunakan pelbagai nama. Pihak berkenaan akan berusaha mewajarkan keputusan itu.

Kisah filem ini diimbas kembali apabila teringatkan setiap kali mahu minum pagi, makan tengah hari atau minum petang di lokasi tertentu, pemilik kenderaan perlu menjelaskan bayaran letak kereta RM0.50 sen untuk setiap jam. Banyak kawasan perniagaan terutama di bandar besar telah mengenakan bayaran letak kereta oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing. Semakin banyak petak letak kereta, maka semakin banyak hasil yang dikutip. Sudah tentu ‘perniagaan’ petak letak kereta ini menguntungkan kerana tidak memerlukan modal besar. PBT akan mendapat hasil tetap jika pemilik premis membeli tapak berkenaan.

Maka tidak hairanlah jumlah petak tempat letak kereta berbayar terus meningkat. Dan mulai 1 Ogos, bulan kemerdekaan tahun ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memperluaskan lagi penguatkuasaan tempat letak kereta awam berbayar, RM0.50 sejam di ‘kawasan perniagaan’ di zon Cheras (12 kawasan baharu) manakala zon Kajang dan Bangi masing-masing melibatkan empat kawasan baharu. Tahniah MPKj. Tahniah juga kepada penduduk di kawasan berkenaan kerana itu menunjukkan kawasan mereka ‘hebat’. Turut terlibat ialah kawasan perniagaan Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota, sebuah kawasan perumahan yang bersempadan dengan Nilai, Negeri Sembilan.

Justeru, mulai Khamis ini, (jika tidak ada sebarang penangguhan) setiap Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), penduduk di kawasan perumahan berdekatan lokasi baharu ini perlu membiasakan diri untuk membuat bayaran sama ada menggunakan kupon (satu buku RM5), aplikasi telefon pintar, mesin bayaran dan pamer, menggunakan pas bulanan (RM74.20) atau membeli petak khas (RM250). Jangan terikut-ikut kebiasaan sebelum ini, meletak kereta secara percuma.

Bayarlah sambil membantu menambah hasil MPKj . Ingatlah, tidak ada yang percuma dalam hidup ini. Masuk tandas pun kena bayar, masuk kubur juga perlu wang. Ya segala-galanya wang.

Cuma kadang-kadang ada wang kutipan seumpama itu seperti GST dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu. Apalah sangat RM0.50 sejam berbanding GST yang dihapuskan dan diganti SST. Dan lebih penting dengan RM0.50 sen,  kita dapat minum pagi, makan tengah hari atau minum petang dengan selesa. Jika itu kekerapannya seharian, baru RM1.50 sehari.

Apa boleh buat dengan RM1.50 ? Nak beli tosei pun tak lepas. Kalau nak makan tosai, harganya RM2.50 + SST RM0.15 = RM2.65 + RM0.50 (parking) = RM3.15. Paling terkesan sudah tentu penduduk sekitar kawasan perumahan berdekatan.

Sama ada anda ikhlas atau tidak, bayar sajalah. Dengan menghulur RM0.50, penduduk lebih selesa untuk singgah minum di mana-mana restoran selepas solat Subuh, Zuhur atau Asar di masjid. Lebih tenang berjumpa doktor di klinik swasta, urusan pos di Pos Malaysia, urusan kaunter dan ATM BSN, membeli ubat di farmasi, membeli keperluan dapur di pasar mini, gunting rambut, fotostat dokumen, membasuh baju di kedai dobi layan diri, membeli alat ganti di kedai hardware, buat aduan kecurian atau kematian di balai polis, makan ayam goreng atau piza, beli jeruk Pak Ali, dan macam-macam lagi. Syukurlah semua urusan berkaitan tidak  lagi dikenakan GST. Cuma ada SST dan caj parking.

Jangan ambil risiko di kompaun RM10 atau RM30. Nak elak rugi secupak akhirnya rugi segantang. Jangan cuba elak bayaran atas alasan sekejap kerana penguat kuasa boleh datang bila-bila masa dan ketika itu anda yang sengaja atau terlupa bayar akan berlari-lari ke kereta untuk ‘menyelamatkan’ kenderaan daripada dikompaun.

Jangan begitu, kerana mungkin ketika berlari-lari anak itu menyebabkan anda terjatuh atau diserang sakit jantung. Jangan biarkan diri anda ‘gugur’  di kaki lima kedai atau di atas jalan. Jangan menyusahkan diri. Jika sudah ditakdirkan terjatuh, redha sahajalah apa yang sudah ditetapkan.

Anggaplah RM0.50 itu sebagai sumbangan rakyat prihatin untuk membantu menambah pendapatan MPKj yang akhirnya mungkin dapat digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di kawasan berkenaan. Kalau seharian pun letak kereta di situ, kadarnya lebih kurang RM5 sahaja. Tidak pasti sama ada penduduk menyambut baik langkah itu atau sebaliknya. Adakah sebarang bantahan dibuat atau penduduk bangga bahawa penguatkuasaan itu menaikkan lagi imej kawasan berkenaan. Mungkin bayaran itu menjadikan status sama seperti bandar besar.

Tidak pasti apakah kriteria untuk melayakkan satu-satu kawasan itu dikenakan bayaran. MPKj dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain sudah tentu mempunyai kriteria yang tersendiri. Asalkan bukan kerana kawasan perumahan berkenaan bermula dengan nama Bandar seperti Bandar Baru Bangi, Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota. Buat permulaan ini, pelaksanaannya biarlah secara berhemah. Mendidik terlebih dahulu, kemudian bertindak. Lebih baik lagi jika batalkan sahaja terutama di kawasan yang sebenarnya lebih menjurus kepada kediaman penduduk, bukannya zon perniagaan yang besar. Hakikatnya kawasan perniagaan itu pula merupakan satu keperluan untuk kemudahan seharian penduduk.

–BebasNews
Please follow and like us:

3 COMMENTS

  1. Sekurang kurangnya orang miskin tegar yang beli barang yang datang naik bas atau naik motor tak lah kena cukai gst yang tak kenal siapa tu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here