Hattan adakan konsert di Dewan Filharmonik

0
628

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

WALAUPUN 2019 baru dua hari menjengah (2 Januari) namun penyanyi rock yang tidak asing lagi, Datuk Hattan sudah memikirkan corak persembahannya di Dewan Filharmonik pada November depan.

“Dalam konsert itu nanti, saya hanya mahu menyanyikan lagu-lagu popular saya yang ‘sedap didengar’ bagi memastikan para hadirin puas dan terhibur.

“Buat masa ini, saya belum memikirkan lagu-lagunya tetapi saya akan pastikan ia dapat mengembalikan nostalgia hadirin dalam menghayati setiap bait lagu yang saya nyanyikan,” kata Hattan.

Hattan ketika dihubungi semalam (1 Januari) memberitahu beliau mendapat tawaran untuk mengadakan konsert berkenaan pada November 2018.

Bagi Hattan, walaupun jarak waktu tawaran setahun tetapi sebagai artis profesional beliau harus mempunyai idea untuk mencorakkan persembahannya.

“Mengadakan persembahan di dewan berprestij itu adalah satu penghargaan yang amat tinggi dan bermakna sepanjang tiga dekad perjalanan karier saya sebagai penyanyi rock.

“Apalagi dalam konsert itu nanti nyanyian saya akan diiringi Orkestra Filharmonik,” kata Hattan yang tidak mahu mempersia-sia peluang berkenaan.

Konsert yang asalnya mahu menampilkan artis dua generasi iaitu Hattan dan Lan Typewriter tetapi melalui perbincangan dengan pihak produksi ia telah berubah.

Menurut Hattan, melalui perbincangan dengan pihak penerbit semalam, konsert itu nanti akan menampilkan artis tiga generasi.

Artis yang akan menyerikan konsert artis tiga generasi itu ialah Hattan (1980-an), Lan Typewriter (2002) dan Hazama (2011) dan persembahan mereka akan diiringi Orkestra Filharmonik.

Dalam konsert itu nanti, Hattan dijangka akan menyanyikan 10 lagu popularnya yang pernah dan sentiasa melekat di hati para peminat setianya.

Apa yang pasti, para peminat Hattan tentu tertanya-tanya apakah 10 antara 100 buah lagu daripada 10 album Hattan yang menjadi pilihannya nanti.

Seperti mana yang dijanjikan Hattan, lagu-lagu pilihannya yang sentiasa melekat di hati para peminatnya. Dan apakah Mahligai Syahdu, Memburu Rindu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Biso Bonar, Rendang Tak Berbuah dan Meniti Perjalanan antara yang akan dinyanyikan?

– BEBASnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here