Isu lambakan songket tiruan dibincang dengan pengusaha tempatan – menteri

0
367

 

Songket asli perlu dipertahankan sebagai lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman-berzaman

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi akan bertemu dengan pengusaha industri tenunan songket pada awal Februari ini bagi membincangkan hala tuju industri berkenaan ​​​​​berikutan masalah lambakan songket tiruan di pasaran sejak sekian lama.

“Antara isu yang akan dibangkitkan ialah mengenai lambakan songket tiruan terutama dari India selain persaingan dari segi harga dan kualiti yang ditawarkan berbanding songket asli dijual di sini,” katanya kepada Bernama selepas program Suara Harapan terbitan Bernama Radio, petang tadi.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kebimbangan pengusaha songket​​​​​ Terengganu terhadap lambakan songket tiruan di pasaran yang menyebabkan permintaan terhadap songket asli semakin berkurangan sekali gus menyebabkan ramai penenun mengalami kerugian.

Ia kerana harga songket tiruan jauh lebih murah berbanding songket asli yang ditenun 100 peratus secara tradisional serta berkualiti dengan harganya mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit.

Beliau berkata songket asli perlu dipertahankan kerana ia merupakan lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman-berzaman.

Mohamaddin turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Yayasan Tuanku Nur Zahirah, iaitu sebuah yayasan di bawah naungan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang bergiat aktif dalam memelihara warisan asli di Terengganu.

Pada 30 Mei tahun lepas, Datuk Radzuan Radziwill selaku pengerusi yayasan itu ​​​​​​​menyatakan​​​​​​​​​​​​ tentang​ keperluan kerajaan untuk campur tangan bagi memerangi kemasukan songket luar negara selain memastikan industri songket warisan Melayu terus terpelihara.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin dalam temu bual tersebut menyatakan bilangan pelancong antarabangsa ke Malaysia bagi tempoh ​​​​​Januari hingga September 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus iaitu 19,386,115 berbanding​​ ​​​​​19,435,935 orang untuk tempoh sama pada 2017.

Bagaimanapun, perbelanjaan pelancong meningkat 0.5 peratus iaitu RM61.9 bilion berbanding RM61.5 bilion untuk tempoh sama pada 2017.

“Pelancong dari ASEAN menjadi penyumbang utama dalam trend kemasukan pelancong pada tahun lepas dengan purata tempoh tinggal telah meningkat sebanyak 0.2 malam iaitu 7.3 malam berbanding 7.1 malam bagi tempoh sama pada tahun 2017,” katanya.

— Bernama
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here