Sukan SEA Filipina tanpa Speedy Jantan?

0
699
KHAIRUL Hafiz Jantan @ Speedy Jantan

 

Oleh KAKI BANGKU

 

JAGUH pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berdepan kemungkinan terlepas peluang mempertahankan pingat emas 100 meter pada Sukan SEA Ke-30, November ini jika catatan 10.71 saatnya hari ini dijadikan kayu pengukur.

Pelari Melaka itu juga hanya menamatkan perlumbaan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan Ke-96 di tempat kedua di belakang pemenangnya, Haiqal Hanafi yang turut mencatat masa kurang memuaskan, 10.59 s.

Kejohanan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu sepatutnya menjadi medan pemilihan terakhir buat ‘Speedy Jantan’ dan atlet-atlet lain negara yang masih bergelut melepasi had kelayakan ke Sukan SEA dari 30 November hingga 11 Disember ini.

Kini Khairul, 21, mungkin perlu bergantung kepada ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi Kategori B ke temasya dwitahunan itu yang bakal memutuskannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihannya di Bukit Jalil, Ahad ini.

Had kelayakan bagi 100 m yang merupakan ‘acara reben biru’ atau amat dinanti-nantikan penonton-penonton Sukan SEA ialah 10.43 s iaitu antara tiga terbaik rantau ini dalam tempoh setahun yang ditetapkan KOM.

Haiqal, pelari Johor pula gagal memanfaatkan kesempatan daripada Khairul yang baru beransur pulih daripada kecederaan dengan hanya mencatat 10.59 s selaku juara sementara di tempat ketiga ialah Zulfiqar Ismail dari Terengganu, 10.81 s.

Aksi Khairul itu merupakan yang ketiga tahun ini selepas dia sekadar merakamkan 10.70 s dalam Sukan Universiti Dunia di Napoli, bulan lalu dan 10.50 s pada Terbuka Kuala Lumpur di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Setakat ini hanya pelari Sarawak, Johnathan Nyeppa yang telah layak dengan Kategori A ke Sukan SEA 2019 menerusi catatan 10.37 s dalam Grand Prix Motonet di Joensuu, Finland, bulan lalu. Dia kini berlatih di Amerika Syarikat.

“Saya reda kalau ini bukan rezeki saya tahun ini (tidak dapat ke Sukan SEA). Saya tahu kemampuan badan saya setelah baru kembali daripada kecederaan tetapi catatan ini masih OK bagi saya.

“Tujuh bulan lamanya saya berehat dan hanya buat sesi pemulihan dengan ISN (Institut Sukan Negara).

“Dua tahun lalu di Bukit Jalil, saya menang Sukan SEA kerana tiga tahun berlatih tanpa kecederaan selain buat persediaan di Afrika Selatan dan Jerman.

“Kalau ke Sukan SEA 2019 dengan Kategori B pun sama sahaja, orang akan cakap dia ni bukan terbaik tetapi boleh dihantar juga (oleh KOM) dan bawa nama Malaysia.

“Di sini saingannya, pelari yang hendak naik akan kejar saya sedangkan saya tiada siapa hendak kejar. Jika dapat berlatih di luar negara, saya boleh meningkat dan lebih pantas kerana pelari-pelarinya sudah buat bawah 10 saat atau 9.9 saat.

Ketua jurulatih negara, Manshahar Abdul Jalil berkata, “bukan semudah itu untuk Khairul kembali dengan catatan terbaiknya dengan kejohanan ketiganya ini. Mungkin dia perlukan sebulan setengah untuk capai bawah 10.5 s.

“Namun sebagai juara bertahan 100 m, sudah pasti kami tidak mahu tinggalkan atau kehilangan pemegang rekod kebangsaan ini. J Satu kejohanan ini bukan pengakhirannya,” katanya.

Setakat ini katanya, hanya 15 atlet sudah melepasi had kelayakan Sukan SEA 2019 iaitu 12 lelaki dan tiga wanita.

“Kami memperjuangkan nasib semua atlet negara bukan sahaja Khairul yang hampir capai kriteria kelayakan. Mungkin jika bukan Kategori A (dibiayai Majlis Olimpik Malaysia) atau B (dibiayai KOM),” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here