BEBERAPA orang ahli lembaga pengelola (ALP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kesal Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik masih belum mengumumkan nama Ketua Pengarah DBP yang baharu.
Menurut mereka, Lembaga Pengarah DBP telah membuat keputusan lebih dua bulan yang lalu dan kelewatan ini menimbulkan keresahan di kalangan kakitangan DBP dan menjejaskan kerja-kerja di badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan itu.
Jawatan itu kosong akibat Ketua Pengarah sebelum ini, Datuk Abdul Adzis Abas ditamatkan perkhidmatannya serta-merta sebelum tarikh kontrakya habis bulan Mac ini.
“Tindakan itu menunjukkan bahawa pihak Kementerian Pendidikan dan Menteri serius mahukan perubahan pimpinan di DBP,” kata seorang ahli lembaga pengelola yang tidak mahu namanya disiarkan.
“Tetapi setelah ALP membuat keputusan dalam mesyuaratnya, pengumuman yang sepatutnya dibuat bulan Disember lepas tidak dilakukan.”
Buat masa ini, Pengerusi DBP ialah Prof. Datuk Dr. Hatta Shaharom, dan hampir kesemua ALP merupakan muka-muka baharu, termasuk seorang bukan Melayu, Datuk Goh Hin San.
BebasNews mendapat maklumat bahawa tujuh orang calon telah dipanggil untuk temu duga jawatan itu, seorang dari dalam dan seorang lagi mantan Timbalan Ketua Pengarah sebelum ini.
Beberapa orang yang lain terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Khair Ngadiron.
Khair khabarnya mendapat banyak sokongan dari organisasi penulis dan budaya ternasuk GAPENA dan Pena serta beberapa orang sasterawan negara.
Sumber memberitahu BebasNews bahawa ALP yang bermesyuarat November lalu memutuskan bahawa “orang dalam” adalah calon yang paling layak memimpin DBP pada masa ini.
Beliau dikatakan sedang memangku tugas Ketua Pengarah pada masa ini.
Seorang ALP yang juga enggan namanya disebut mengatakan bahawa keputusan ALP itu sepatutnya dihormati oleh Menteri.
Menteri tidak sepatutnya tunduk pada desakan mana-mana pihak untuk melantik mana-mana individu yang dinamakan oleh “pihak yang lebih atas” daripada beliau.
Sesuai dengan Akta DBP dan semangat keterbukaan Malaysia Baru, Dr. Maszlee seharusnya menolak sebarang campur tangan luar dalam isu pelantikan Ketua Pengarah DBP.
— BebasNews
PEMEGANG anugerah prestij Kewartawanan Kajai 2005 Institut Akhbar Malaysia (MPI); Wartawan Terbaik Negara 2008 Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM); Best Journalist of the Year 2009 National Press Club (NPC); Tokoh Wartawan Politik 2011.
Bekas Penolong Ketua Pengarang Utusan; bekas kolumnis Cuit Utusan Malaysia (2008-2017) yang kontroversial.
Kini Penasihat Editorial BebasNews.my