Tolak Jawi, simbol jenama produk bukan Islam

1
381
Oleh DATUK HASSAN MOHD. NOOR

 

MEMANG tepat langkah Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam. Mungkin langkah itu dapat membendung kecenderungan pengeluar menggunakan tulisan Jawi sebagai salah satu usaha menarik perhatian masyarakat Islam.

Sejauh mana ia boleh jadi kenyataan? Mampukah undang-undang atau peraturan menyekatnya kerana tanda Halal pun disalahgunakan sama ada yang palsu atau sekadar hiasan bagi meyakinkan pembeli atau pelanggan. Di restoran pula, bukan setakat tulisan Jawi tetapi ayat-ayat al-Quran juga disalahgunakan untuk menarik perhatian pelanggan.

Ketika mereka menolak tulisan Jawi (khat) untuk diajar di sekolah jenis kebangssaan Cina atau Tamil, tidak ada sebab mereka boleh menolak juga tulisan itu pada produk mereka. Kecuali bagi nama premis perniagaan yang diwajibkan memasukkan tulisan Jawi seperti di Kelantan dan Terengganu.

Ada peniaga lebih utamakan keuntungan. Jawi hanya diguna untuk ‘memancing’ pembeli dalam kalangan orang Islam. Lebih mendukacitakan, gara-gara tidak puas hati cadangan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah, seorang tokoh korporat bukan Melayu menukar jalur putih Jalur Gemilang kepada warna hitam. Kenapa begitu ‘marah atau bimbang’ terhadap Jawi?

Bagaimanapun itu bukan alasannya. Langkah itu bukan dendam. Ia secara kebetulan. Sama ada puak itu menerima jawi di sekolah atau tidak, apa yang penting adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam. Begitu juga penggunaan simbol serta nama-nama yang berkait rapat dengan Islam tidak seharusnya digunakan bagi produk keluaran bukan Islam. Contoh penggunaan simbol termasuklah Kaabah dan masjid.

Kadang-kadang, hanya disebabkan label produk menggunakan tulisan Jawi, simbol berkait rapat dengan imej Islam dan nama produk agak islamik, pengguna khususnya masyarakat Islam membeli tanpa usul periksa. Apatah lagi jika ada tanda ‘halal’. Mereka beranggapan itu adalah produk bumiputera atau orang Islam sedangkan hakikatnya, hasil keluaran bukan Islam. Dan status halal diragui.

Seperti kata Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris, tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.
“Kami menggesa kerajaan bertindak kerana ia didapati pernah disalah gunakan. Ia seolah-olah tulisan Jawi itu digunakan menyucikan kandungan yang tidak halal dan ini mengelirukan pengguna”, katanya.

Walaupun langkah itu belum menjamin keikhlasan pengeluar produk tetapi sekurang-kurangnya masyarakat Islam lebih berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan tulisan atau simbol. Jika tanda halal boleh diselewengkan, inikan pula sekadar penggunaan tulisan Jawi atau simbol. Semoga langkah itu dapat mengelakkan ‘penipuan’ yang semata-mata mahu melariskan jualan.

Sensitiviti umat Islam terutama berkaitan halal dan haram perlu dijaga. Umat Islam amat sensitif soal halal haram yang melibatkan makanan dan minuman (kecuali rokok) walaupun banyak lagi sesuatu yang tidak halal atau haram dilakukan.

-BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here