Polis tahan dua lelaki penganjur Perhimpunan Bantah Tulisan Khat di Brickfields

0
346

KUALA LUMPUR — Polis menahan dua individu bagi diambil keterangan kerana menganjurkan perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil di Little India, Brickfields hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe berkata, kedua-duanya ditahan kerana menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran yang disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Katanya, sebelum ini polis sudah menasihatkan penganjur serta orang ramai untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat kebenaran selepas notis yang dikemukan penganjur tidak lengkap.

“Kira-kira 500 orang menyertai perhimpunan ini yang berlangsung pada jam 7 malam secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Bagaimanapun, kita menahan dua lelaki yang bertindak sebagai penganjur perhimpunan bagi dirakam percakapan kerana kegagalan mereka untuk mematuhi arahan agar perhimpunan itu tidak diadakan,” katanya ketika ditemui di lokasi perhimpunan hari ini.

Sebelum itu, Arifai mengarahkan agar peserta untuk bersurai susulan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran dan menggangu lalu lintas.

Bagaimanapun, penganjur perhimpunan itu iaitu K. Umagandhan kemudian meminta kebenaran untuk berucap selama 10 minit sebelum beredar.

Selain Umagandhan, seorang lagi individu yang ditahan dikenali sebagai Tan Boon Tak.

Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada jam 7.30 malam.

-NSTP
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here