Saya tak terbabit urusan pencalonan sasterawan negara, Siti Zainon beritahu pengkritik

0
604
FOTO:  NSTP/MAHZIR MAT ISA.

 

PENULIS novel dan pengkaji seni budaya, Siti Zainon Ismail tidak mahu melayan kritikan pelbagai pihak serta penggiat seni yang terkejut dengan pengumuman beliau sebagai sasterawan negara ke-14 semalam kerana beliau tidak pernah terbabit dalam urusan pencalonan anugerah itu.

Katanya, beliau hanya tahu dirinya mendapat anugerah itu selepas pengumuman semalam dan ahli panel Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang patut menjawab kritikan orang ramai.

“Saya tidak pernah ingin terlibat dengan hal-hal begini dan saya tidak tahu pun hal-hal begini. Itu tugas jawatankuasa pemilihan.

“Pencalonan (saya) dibuat pihak lain, saya tidak ada masa nak mengurus. Saya tidak peduli dan ada orang tahu gaya saya, ahli panel pun tak ganggu saya.

“Tidak perlu layan, itu tugas penaja, tugas DBP, DBP lebih berhak melakukan itu (menjawab kritikan orang ramai),” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Siti Zainon yang menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris terkenal dengan novel Pulau Renek Ungu (1995) dan beliau ialah wanita kedua dipilih sebagai sasterawan negara selepas penyair, Zurinah Hassan pada 2015.

Puisi dan cerpennya turut diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, seperti Korea, Jepun, Perancis, Rusia dan Hindi.

Beliau pernah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak 6 kali, Anugerah Penulis Asia Tenggara (1989), Anugerah Tokoh Seni Budaya dari Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (2015) dan dianugerahkan Pingat Seri Mahkota Selangor,

Zainon berkata, beliau tidak pernah bermimpi dipilih sebagai sasterawan negara dan akan meneruskan kerjanya dalam bidang sastera serta kajian seni budaya.

“Saya rasa biasa saja, ini kerja kita bersama, jadi tanpa masyarakat, siapalah kita?

“Dasarnya kita berkarya dengan sejujur hati, bukanlah nak dapat anugerah ke apa, terserah itu semua kerja Allah.”

Semalam, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik ketika membuat pengumuman itu berkata, Zainon dipilih berdasarkan sumbangannya dalam karya dan pemikiran terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera serta impak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kemenangan Zainon bagaimanapun dikritik penulis cerpen dan novel, Malim Ghozali yang dipilih sebagai tokoh sasterawan Perak pada 2014.

Malim mendakwa pemilihan itu dibuat ketua pengarah DBP “secara sebulat suara” kira-kira 6 bulan lalu, iaitu pada 28 Mac lalu, yang disifatkan satu bentuk tindakan “pintu belakang”.

“Apa terjadi selepas itu? Kalau ada orang atasan yang menolak saya, saya nak tahu kenapa? Kita kena faham hak bukan mutlak sifatnya.

“Ia datang dengan tanggungjawab. Waima menteri sekalipun! Ketika apa ratus sastera sudah dipolitik, dimanipulasi dan diselewengkan, saya sudah hilang kepercayaan terhadapnya sama sekali,” kata Malim semalam.

 

Seniman pertahan kemenangan Zainon

Pengarang dan seniman, Pyanhabib Rahman menggesa Malim reda dan menghormati keputusan ahli panel DBP.

“Martabat anda akan tinggi jika reda. Jangan guna kalimah Allah untuk berprasangka ada orang jahat dalam anugerah sasterawan negara ke-14.

“Gerakan sastera sememangnya dimanipulasi politik. Maka kita kena cakap elok-elok supaya orang tidak nampak kita dimanipulasi politik ketika bercakap,” katanya kepada FMT.

http://bit.do/e6KmS
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here