KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Mat Yusop.

 

Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

SHAH ALAM – Kes pecah amanah melibatkan Amil zakat di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dilaporkan media kelmarin (5 September) adalah kes terpencil dan tidak sepatutnya menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Mat Yusop berkata, LZS amat menitikberatkan integriti semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam kalangan warga kerjanya.

“Tindakan itu bertujuan memastikan wang zakat yang diamanahkan diurus dengan baik dan mencapai objektifnya. LZS amat memandang serius sebarang salah laku yang membabitkan integriti dalam kalangan warga kerja dan tidak berkompromi dalam mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang.

“Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas, “kata beliau dalam kenyataannya di sini.
Saipolyazan berkata, kes pecah amanah yang berlaku dan dilaporkan dalam media massa kini dalam tindakan mahkamah.

Beliau menjelaskan, sehingga kini pelbagai kawalan dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara melalui pelbagai siri pengauditan.

“Antara badan audit yang terlibat adalah Firma Audit Antarabangsa dan Audit Negara, Audit SIRIM, Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Audit Dalaman LZS dan sebagainya, “katanya.
Semalam, media tempatan melaporkan seorang bekas amil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen atas dua pertuduhan pecah amanah wang kutipan zakat masing-masing bernilai RM1,70 dan RM3000 atau kesemua bernilai RM4,750 pada tahun lalu.

Tertuduh, bekas pegawai zakat menjadikan kutipan zakat itu sebagai wang milik peribadi.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kaunter Kutipan Zakat LZS Cawangan Taman Melawati di sini masing-masing pada 24 Julai 2018 dan 12 April 2019.

Tertuduh Muhammad Raffi Md. Rawi, 29, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here