PENGGUNAAN tulisan Jawi di produk keluaran pengusaha bukan Islam tidak harus menjadi isu kerana hanya akan menjadi racun perkauman, kata pengusaha runcit terkemuka Ameer Ali Mydin.

Sentimen perkauman seperti itu perlu dihentikan terutama dalam kempen kepada pengguna, katanya yang merujuk kepada kempen memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Muslim.

“Saya rasa perkara ini menjadi isu apabila pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa haramkan tulisan Jawi pada produk bukan Islam.

“Jadi pendapat saya ianya tidak elok untuk negara sebab di Malaysia kita hidup dalam berbilang kaum, berbilang agama.

“Jadi tidak perlu mengeruhkan lagi keadaan,” kata pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad itu kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.

Beliau juga berkata produk keperluan pengguna tidak boleh dipisahkan mengikut kaum atau pengeluarnya kerana akan memberi kesan tidak sihat kepada keharmonian negara.

Tegasnya, kempen memboikot produk keluaran bukan Melayu dan bukan Islam itu juga tidak patut diadakan kerana bersifat perkauman.

“Nasihat saya hentikanlah mentaliti perkauman dan agama itu adalah perkara yang lebih penting.

“Malah kena bersikap berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat di media massa,” katanya, mengulas kempen yang digerakkan di medan maya.”

Bagaimanapun, beliau berkata pengguna tetap wajar menyokong produk keluaran tempatan, tidak kira jika ia keluaran Bumiputera atau tidak.

“Sebab sebagai rakyat Malaysia kita perlu membeli produk buatan Malaysia yang dibuat oleh rakyat Malaysia tidak kira mereka dari bangsa Melayu, Cina mahupun India,” katanya lagi.

Beliau juga berpandangan, kempen boikot itu tidak akan memberi kesan kepada pengeluar bukan Islam kerana pembeli tetap akan membeli produk buatan Malaysia.

Bagaimanapun, seorang pengkaji Universiti Kebangsaan Malaysia berpandangan kempen tersebut akan menjejaskan ekonomi Malaysia kerana mewujudkan saingan dan monopoli perniagaan.

Andrew Kam Jia Yi menjelaskan, rantaian bekalan akan terjejas apabila pembekal tidak lagi menggunakan khidmat pengusaha daripada kaum atau fahaman tertentu.

“Sama ada produk Islam atau bukan Islam, kempen boikot mana-mana produk buatan Malaysia akan menjejaskan pasaran ekonomi semasa.

“Bagaimana pula jika produk yang dihasilkan oleh bukan Islam menggunakan pembekal Muslim? Bukankah kehilangan perniagaan oleh satu pihak mempengaruhi yang lain?” soalnya.

Felo kanan di Institusi Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM itu bagaimanapun berkata, perkara itu hanya akan berlaku sekiranya kempen boikot produk bukan Muslim itu dibuat terang-terangan.

Jelasnya, kempen tersebut akan menyebabkan kesukaran mencari pembekal dan secara tidak langsung menyebabkan permintaan melebihi bekalan.

“Saya yakin mana-mana perniagaan (sama ada Muslim atau bukan Muslim) tidak mahu membeli pada harga input yang lebih tinggi.

“Jadi di mana kita (masyarakat) mahu mencari bekalan sekiranya permintaan tinggi?” soalnya.

Oleh itu, promosi produk halal seperti Malaysia International Halal Showcase dan Ekspo Halal Malaysia perlu diutamakan berbanding mengehadkan perniagaan bukan Islam lain, katanya.

Beliau mengulas pengaruh kempen di media sosial yang menyeru pengguna menyokong produk keluaran pengusaha Muslim dan boikot produk keluaran pengusaha bukan Muslim.

Kebanyakan kumpulan di Facebook mempunyai jumlah pengikut yang banyak dan ia meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Antaranya Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia yang kini mengumpul lebih sejuta ahli. Jumlah keanggotaannya naik mendadak semenjak kempen boikot barang bukan Muslim tersebar meluas.

Ahli kumpulan tersebut antara lain mempromosi produk tertentu keluaran pengusaha Muslim dan turut membuat perbandingan dengan mutu produk keluaran bukan Muslim.

Satu lagi kumpulan Facebook yang bergerak dengan nama “Boikot Barang Cina DAP” juga berjaya mengumpul puluhan ribu ahli.

Kempen tersebut dikesan tular dalam kumpulan tertentu di media sosial apabila muncul penentangan ke atas pembelajaran Jawi di sekolah.

Beberapa NGO yang menyokong kempen membeli barangan keluaran usahawan Muslim itu termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan PPIM.

Kempen berkenaan bagaimanapun ditolak oleh Kabinet yang menyifatkannya sebagai kempen dengan pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman.

Susulan kritikan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Ummah menjelaskan kempen itu tidak menolak produk bukan Islam tetapi hanya menyokong produk keluaran Muslim.

PAS turut menyokong kempen berkenaan yang melalui kenyataan bekas timbalan ketua Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Dusuki dilaporkan berkata tindakan memboikot produk bukan Islam akan memberi pahala kepada pengguna.

http://bit.do/e7TUn
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here