Apa yang diingini akal dan jiwa?

1
790

APABILA akal melihat, diberi-Nya kebijaksanaan, membawa kita ilmu, kefahaman dan penderiaan. Apabila manusia diberi ilmu, dia mengaku saja. Ada tugasmu di situ. (Pesan Farid Ud-ddin Attar)

Apakah yang diingini akal dan jiwa? Sebaik-baiknya ikutilah pesan bestari adat Melayu beradab santun pusaka pelengkap jiwa dengan bahasa ibunda.

Tulislah karang-karangan bersulam mulia adab Melayu. Laksana kearifan Hang Tuah menulis bunga menghiasi Mendam Berahi belayar ke Laut Jawa dan Hang Nadim menulis dengan arifnya bunga-bunga berterap menghiasi busana baginda.

Dengan tinta, adiguru menulis, menggaris dan melukis. Sejak berzaman lamanya telah terkarang kitab, ditulis para pujangga dan terhimpun dinaungi istana sebelum bumi alam Melayu diserang geroda mencengkam. Mujur kitab purba tiba membuka rahsia aksara cerita. Maka tumbuhlah haruman budaya tinggi mengutus pesan Ilahi.

Nilai akal diwariskan oleh ahli al-hikmah yang berbicara dengan cahaya hati. Melalui nukilan risalah agama, adab, etos, diajari sifat mulia manusiawi, meneguhkan sahsiah peribadi, maka terbentuklah jiwa yang dapat membawa kesejahteraan, keadilan dan ketakwaan. Nadanya bergelombang irama rasa dan fikir, terucaplah pantun gurindam. Baca dan tulislah itulah hikmah.

Akal budi dan mata hati

Menulis itu adalah nikmat, menyampaikan ‘rasa hati’. Dalam budaya Melayu, rasa hati bukanlah nafsu-nafsi. Tetapi getar yang menyihat empati kesedaran dan keinsafan. Seperti kejujuran bicara sang budiman dengan rangkai kata sufisme Prof Ali Hasjmy, puncak curahan mata hati, seakan dibayangi arah jari telunjuk lurus ke depan, di simpuh tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Puncak keindahan inilah yang tampil demi keimanan Yang Abadi dengan keindahan-Nya, Ya Al-Jamal.

Demikian mata hati pun merumuskan, bahawa gerak campak lenggang gamelan juga menampilkan gerak telunjuk ke depan.

Kadang ke arashi, kala “mata dituju setiap gerak/susun jari, kaki bercampak lenggang”. Berhujung kasih sayang.

Budi turut mengekalkan kenangan bakti. Di sinilah pentingnya peranan pengkaji menggali khazanah sejarah warisan. Syukur, kerjasama sarjana tempatan turut disokong oleh sarjana luar negara. Pendidik bahasa dan sastera Melayu masih dihargai. Mereka mengutip dan menterjemah dan mengembalikannya semula kepada kita. Tetapi sejauh manakah pendidikan susastera membuka pintu hati anak negeri?

Ungkapan tinggi adakah tersebar di corong radio pagi atau tertatap baca di layar TV? Sebaliknya bahasa gemuruh celupar semakin bersorak-sorai dalam wahana penyiaran dengan mendapat tajaan mewah.

Hanya melalui kesedaran akal budi menyantun perilaku anak bangsa.

Inilah akal budi yang menyaring tingkah laku curahan susastera. Sastera yang indah bukan hanya ungkapan rayuan, atau ungkapan puitis. Tetapi akar warisan bertunjang ke bawah dan kembang semarak memuncak ke pucuk awan.

Malah cahaya, kelembutan hati akan menolak kebencian dan kesombongan. Begitu amanat al-Ghazali, kebenaran bukan hanya melalui akal budi, sebaliknya cahaya yang dipancar Ilahi ke jiwa nurani. Ini jugalah martabat Rumah Budi Melayu.

SASTERAWAN Negara ke-13, Dr Siti Zainon Ismail menyampaikan ceramah bertajuk Masa Depan Busana Tradisional Melayu diabad ke-21 di Kelab Bangsar Utama. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ.

Di Rumah Budi Melayu inilah, Prof Amin Sweeny tidak pulang ke negara salji. Prof Boris Parnikel menangis terharu kerana setelah berpuluh tahun membaca Rubai Hamzah Fansuri, di usia tua baru tiba ke DBP. Malah terus menterjemahkan “Syeikh Kuala”, getusnya, “Aku tidak maut kecuali selesai menterjemah karya Melayu”.

Rumah Budi Melayu terus dihargai oleh sarjana termasuk Dr Victor Pogadaev yang lebih beruntung dapat berjalan jauh menggali puisi oleh penyair Melayu Aceh, Sunda, hingga ke Ranah Minang.

Melukis susastera – seni budaya

Seni lukis alam Melayu itu tumbuh subur di tanah, gunung, dan lautan. Inilah jiwa tanah dan air. Tanah akan kering tanpa simbahan hujan. Lautan bergelombang boleh saja memupus penghuni alam. Tsunami di Aceh sudah berlalu. Tetapi tsunami jiwa terus bergolak. Maka nenek moyang kita sejak dulu berwaspada.

Siap siaga akal dan jiwa dengan gurindam syairnya:

Keris disisip ke ikat bengkung
bengkung terbuat cindai berkarang
cindai jantan cintai betina
tahu dipakai oleh siapa
bila dipakai tahulah letak adat dan adabnya

Merangka seni budaya semasa

Bidalan berikut ini mungkin tidak digeruni generasi masa kini. Lima puluh tahun lalu, apabila ungkapan “tidak tahu bahasa” didengari, bersiap sedialah berhadapan dengan tindakan orang tua.

Hari ini Rumah Budi Melayu makin sesak dan bergoyang. Disendatkan dengan pelbagai tingkah laku canggung bertentangan dengan resam budaya. Oleh citra globalisasi tidak terbatas maka masuklah kepelbagaian dan keracunan ciri budaya dan bahasa.

Pemahaman Bahasa Jiwa Bangsa semakin tipis, akhirnya bagai kembali berulang – berbudaya neo-culture atau sebenarnya neo-geudal. Berkuasa atau sememangnya kehendaknya. Mungkin dunia Sastera dapat mengimbanginya. Itu pun kalau sudi mencari akar, sebelum melonjak ke angkasa antarabangsa.

Apakah kerana bahasa sajak atau puisi moden tidak seghairah nyanyian pendendangnya yang popular. Maka dendangan Awang Batil, Tok Selampit tinggal kenangan? Atau selaku penulis, saya harus bertahan merakam kembali cerita kampung halaman yang bakal lenyap oleh ghairah pembangunan Kota Raya.

Dalam hal ini, penyatuan melalui bahasa Melayu sebagai bahasa negara harus diberi tumpuan. Hebahan melalui poster, papan tanda arah, iklan semestinya memperluaskan makna simbol bahasa ini. Meskipun persembahan dalam seminar, atau dalam dialog bernuansa antarabangsa, tidak salah bahasa kebangsaan didahulukan.

Semogalah di celah-celah pembangunan fizikal, pemikiran budaya dapat juga berkembang, seimbang. Sastera bagai sengaja dialahkan oleh promosi hiburan, disaingi mestizo culture. Campur gaul pengaruh asing (setelah didatangi kuasa Barat), yang terus dibiar.

Semoga dengan mata jeli perancang taman, silakan menyusun, menata puisi (pantun/gurindam/sajak dan sebagainya) di rimba, di taman, atau di lorong dan jalan kota, di stesen kereta api, di dinding dan meja kedai kopi. Maka dengan cara sedemikian, sajak dan puisi yang bernilai susastera tumbuh secara alami. Berkelipkah lampu puisi di pintu rumah waris SN Usman Awang di Kuala Sedeli atau di Belimbing Dalam kampung kelahiran A Samad Said? Di manakah ungkapan semangat juang Arena Wati, Shahnon Ahmad dan Keris Mas?

Melabuh tirai

Akhirul kalam, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-14 ini.

Antaranya tidak dilupakan kepada guru, adiguru, sahabat seperjuangan Papti dan Institusi Pengajian Tinggi yang lain. Semoga segala usaha murni ini akan diredai Allah SWT dan menerima ganjaran yang setimpal daripada-Nya jua.


Rencana ini disesuaikan daripada ucapan penuh penerimaan Anugerah Sastera Negara ke- 14 oleh Dr Siti Zainon Ismail di Kuala Lumpur pada 21 September lalu.

 

http://bit.do/e9ZxF
Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Akal dan Jiwa semestinya HANYA perlukan satu benda:

    omputeh sebut “the RIGHT ATTITUDE”

    bila mana Akal dan Jiwa insaniah having the Right ATTITUDE, semua benda dan perkara kita akan ambil iktibar dan bereaksi Positif.

    Manis dan Indah lah Dunia..
    Yakin dan Percayalah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here