KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman memburu 21 peguam yang disyaki terbabit dalam 39 kes penipuan dan pecah amanah dengan kerugian berjumlah RM30.4 juta.

Di antaranya, seorang peguam yang dipercayai pernah terbabit bersama seorang pemimpin kanan parti politik di Sabah dalam kes urusan pembelian tanah ladang kelapa sawit, tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata kesemua individu berusia antara 34 hingga 69 tahun itu juga sudah dikeluarkan daripada senarai pengamal undang-undang oleh Majlis Peguam.

Katanya, daripada jumlah itu, terdapat arahan untuk dakwaan terhadap lapan peguam membabitkan 15 kertas siasatan, manakala 13 lagi dicari bagi tujuan membantu siasatan.

“Semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati 16 daripada mereka masih berada di dalam negara, manakala lima lagi berada di luar negara.

“Kesemua mereka disyaki terbabit dalam kes penipuan dan pecah amanah, antaranya salah guna wang pelanggan untuk kegunaan sendiri, penipuan kes yang tidak wujud dan tidak menjalankan kerja perundangan walaupun sudah menerima bayaran,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mohd Zakaria berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 21 individu terbabit diminta segera tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan pecah amanah.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata pihaknya turut memburu seramai 117 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan pinjaman wang haram atau ‘ah long’.

“50 individu terbabit kita perlukan untuk dituduh di mahkamah dengan kertas siasatan dan waran tangkap sudah diperoleh.

“63 lagi diperlukan untuk melengkapkan siasatan, manakala empat lagi dalam proses mendapatkan waran tangkap,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menutup kes berkaitan ‘ah long’ dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang dicari untuk menyalurkan maklumat.

“Kita serius dalam menangani kes pinjaman wang haram ini, dalam ‘Ops Vulture’ baru-baru ini sudah memeriksa sebanyak 199 premis ‘ah long’ tidak berlesen dan 536 premis pinjaman berlesen, daripada serbuan itu kita tahan 221 pinjaman tidak berlesen dan 14 tangkapan untuk yang berlesen.

“Dengan tindakan yang dilakukan ini, kita harap dapat meredakan sedikit kegusaran pada mangsa yang pernah diugut dengan tuntutan yang tidak munasabah,” katanya.

Berita Harian

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here