Fazley ikhlas bantu peniaga gerai

1
487
FAZLEY Yaakob sering mencipta resipi baharu sesuai dengan produk yang diwakilinya.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MENGAKUI masakan orang lain sedap tak bermakna masakan kita kurang enak. Sebagai tukang masak, Datuk Fazley Yaakob, 41, tak rasa kebolehannya memasak akan berkurangan jika memuji masakan orang lain.

Bagi juara program Master Chef Malaysia dan pemilik restoran SukaSucre, jika masakan itu sedap, perlu diakui kesedapannya walaupun disajikan oleh peniaga tepi jalan.

Jelas Fazley, beliau amat menghargai perniaga gerai di tepi jalan kerana latar belakang keluarganya juga bermula sebagai peniaga gerai.
“Keluarga saya bermula dengan meniaga gerai. Keluarga arwah ayah dulu pernah menjual mi di hadapan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.  Belah ibu pula, keluarganya berniaga kuih-kuih Melayu. Jadi saya tahu cabaran peniaga gerai tepi jalan.

“Tak sangka pula bila saya menang Master Chef, saya dapat buka restoran. Biarpun ada restoran tapi mentaliti dan kemahuan saya tetap mahu memberi kekuatan kepada peniaga gerai,” jelasnya.

KEK yang disediakan oleh Fazley dan kru SukaSucre itu menggunakan serbuk teh Boh.

Fazley sejak akhir-akhir ini sering berkongsi kisah persinggahannya di gerai tepi jalan untuk merasai makanan yang dijual. Sambil itu beliau turut berkongsi pandangannya tentang masakan tersebut dan membantu mempromosi gerai tersebut di laman sosial peribadinya.

Baginya, di mana saja makanan dihidangkan, semua itu dalam kelompok yang sama tanpa mengira lokasi. Fazley yang lebih senang menggelar dirinya tukang masak berkata, beliau tidak suka mendiskriminasi sesuatu masakan hanya berdasarkan kepada lokasi.

“Kalau saya pergi ke gerai bihun goreng kat Kuala Kubu, kalau bihun goreng tu sedap, saya katalah sedap. Kalau saya letak peniagaan bihun goreng gerai, restoran atau hotel kalau yang gerai punya sedap, saya tetap kata itu sedap. Kita tak boleh letak diskriminasi hanya kerana ia bihun goreng gerai.

“Pada saya kesedapan makanan itu adalah kemampuan tukang masak dan bahan-bahan yang digunakan, bukan lokasi. Jadi bila saya menangkan atau puji gerai itu bukan saya menidakkan restoran atau hotel tapi saya hargai orang yang pandai masak,” katanya jujur.

Jelas Fazley, apabila orang ramai tahu beliau sering berkunjung ke gerai, ramai pula yang menghantar mesej peribadi kepadanya. Sebenarnya Fazley ada hasrat untuk jelajah negara bagi membantu peniaga gerai mempromosi perniagaan mereka.

“Saya ada merancang nak jelajah Malaysia sebab selepas saya buat satu video setiap hari puluhan yang DM (direct message) saya. Hantar alamat dan ada yang sanggup nak datang dari Perlis untuk hantar makanan. Saya kesian sebab jauh, kalau saya berada di sebelah utara saya pergi.

“Bila saya cakap kata nak pergi, mereka yang terharu, pada hal saya cuma nak tolong bagi komen. Setakat ini kalau ada yang tak sedap saya tak cakap dalam IG tapi saya bagi tahu secara peribadi. Rasanya tak salah saya buat beigtu kerana saya sendiri bermula daripada niaga gerai,” katanya.

Seronok cipta resipi baharu

Sejak beberapa bulan lalu, kita sering melihat wajah Fazley di pasaraya sambil memegang jenama produk teh Boh. Bagi kita kalau sebut teh tentulah buat air minuman.

Rupa-rupanya serbuk teh perisa Sirih Purut dan Herba Ratus, keluaran baharu Boh bukan sekadar boleh diminum tapi boleh dijadikan bahan masakan.

Sempena sambutan ulang tahun Boh Plantation Sdn. Bhd., yang ke-90, Fazley telah berkongsi tiga hidangan mudah menggunakan serbuk teh iaitu Ile Flottante, Herba Ratus Pasta Seafood dengan Sirih Purut berkrim, Kek Cawan Teh Tarik dengan coklat putih dan ais krim Teh Hijau Jasmin.

FAZLEY bersama ibunya, Umi Kalsom Abdol Latib.

“Kalau di Malaysia, kita tahu produk teh adalah untuk teh tarik, jarang teh diguna dalam masakan atau pembuatan kek. Saya nak beritahu masyarakat, perisa yang Boh cipta seperti sirih purut dan rempah ratus yang menggunakan bahan tempatan boleh diguna dalam masakan.

“Bila teh sirih dan herba dicipta, saya boleh ajar orang ramai memasak menggunakan teh dalam masakan. Saya rasa ini tanggungjawab besar juga sebab Boh itu jenama tempatan yang mana saya sendiri membesar dengan jenama itu,” jelasnya yang sudah minum teh jenama Boh sejak usia 17 tahun.

Fazley mengambil masa hampir sebulan untuk melakukan penyelidikan bagi menghasilkan resipi menggunakan teh perisa baharu itu.
“Bila dapat produk, saya akan cuba. Saya bukan setakat guna wajah untuk menjadi duta tapi saya diberi peluang untuk buat R & D, itu yang saya seronok. Sehingga kini saya ada puluhan resipi yang saya buat menggunakan teh tapi baru beberapa saja yang saya keluarkan untuk kongsi dengan umum.

“Resipi paling istimewa untuk saya adalah nasi goreng teh tarik, sebab kita tak tahu teh itu boleh buat banyak benda. Kalau kat negara luar, teh itu dimasukkan dalam pasta, perap daging atau ikan, tapi kat Malaysia kita tak biasa dengan benda begitu,” katanya terus terang.

Fazley akui beliau tidak sukar untuk mencipta resipi baharu kerana semua itu bergantung kepada deria rasanya. Sehingga kini apa yang beliau cuba dan hasilkan semuanya menjadi.

Dalam sibuk menjadi duta beberapa produk makanan, Fazley masih berkesempatan meneruskan kerjaya seni. Terkini, beliau akan bekerjasama dengan sebuah syarikat di Indonesia.

“Tawaran ini saya dapat tiga tahun lalu tapi disebabkan sibuk dengan dunia masakan saya tak dapat nak penuhi. Dalam dua tahun kebelakangan ini saya ulang alik ke Indonesia. Orang sana sudah ikuti perkembangan seni saya sejak lagu Asmara Ini.

“Kali ini lebih menarik sebab kerjasama itu termeterai bukan sebab saya seorang penyanyi tapi kerana saya boleh memasak juga. Pihak sana sedang mencari penyanyi yang boleh memasak atau tukang masak yang boleh menyanyi. Budaya itu baru nak terbentuk jadi mereka mahu bekerjasama dan jadikan jambatan untuk makanan dan nyanyian dua negara. Perkara itu buat saya teruja,” katanya sambil tersenyum.

-BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Ikhlas tidak perlu diungkapkan. al Ghazali dlm ihya’ ulumiddin menegaskan
    IKHLAS seumpama semut hitam sangat kecil di atas batu legam pada kala malam yang gulita. Ia tak nampak namun ada. Malah al Ghazalu MENEKANKAN barangsiapa MENGAKU dia ikhlas SEBENARNYA ikhlas TIDAK HADHIR di lubuk hati nuraninya yang TERPALING SANGAT DALAM…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here