Oleh FAIZAL ZAKARIA

PENUBUHAN syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd bagi mentadbir sebahagian aset milik Tabung Haji (TH) dibuat atas faktor komersial semata-mata dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana keputusan politik atau orang politik.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, tidak ada pihak mempengaruhi TH untuk memindahkan aset berkenaan malah tuduhan campur tangan Kementerian Kewangan (MoF) dalam pentadbiran TH sesungguhnya tidak berasas.

“Pihak pengurusan kanan TH mengenal pasti aset mana yang perlu dikeluar dan diletakkan dalam syarikat SPV ini. Ada beberapa kriteria yang kami telah tetapkan. MoF tidak terlibat dalam urusan perpindahan aset ini.

“Antara kriteria aset yang diletakkan dalam SPV ini ialah saham syarikat yang telah susut nilai lebih 20 peratus dan bidang tanah yang tidak menjana hasil komersial,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zukri berkata demikian dalam satu temu bual khas kepada BebasNews di pejabatnya di Kuala Lumpur baru–baru ini. Pada 15 Januari lalu, TH telah mengadakan satu taklimat khas untuk para editors berhubungan kedudukan semasa kewangan TH serta pelan pemulihan TH.

Untuk rekod, TH tidak boleh memberikan dividen atau hibah seperti termaktub dalam Seksyen 22, Akta Tabung Haji 1995 sekiranya agensi itu tidak mempunyai aset melebihi hutangnya.

Bagaimanapun, dalam keadaan kewangan semasa, hutang atau liabiliti TH melebihi aset, sekali gus menyebabkan pembentukan Urusharta Jamaah merupakan sebagai jalan terbaik bagi memastikan hibah dapat dibayar untuk tahun kewangan 2018.

Jelas Zukri, TH sudah pasti tidak dapat membayar hibah untuk beberapa tahun akan datang sekiranya terus menunggu nilai aset-aset berkenaan meningkat sehingga mencapai ketetapan Seksyen 22 dalam Akta Tabung Haji 1995.

“Kalau kita tunggu aset ini naik secara organik maka lagi lama kita tidak akan dapat bayar hibah. Oleh itu, pembentukan SPV dengan kaedah kewangan tertentu akan memastikan kita dapat membayar hibah.

“Aset dipindahkan ke SPV, dan satu suntikan RM19.9 bilion akan diterima TH. Ini akan menjadikan akaun kita kembali seimbang. Insya-Allah ada hibah pada 2018 tetapi ia tidak sebanyak berbanding tahun-tahun dahulu,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kemelut TH tersebut telah mendapat teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2016 namun pihak pengurusan ketika itu tidak melakukan kawalan lebih baik terhadap tadbir urus pelaburan sehingga melebarkan lagi jurang aset dan liabiliti.

Berikutan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada 17 Disember lalu menjelaskan, Kabinet telah memutuskan TH akan kekal diletakkan di bawah seliaan BNM, manakala akta akan dipinda bagi mencapai matlamat tersebut.

Sehingga 31 Disember 2017, jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion manakala jumlah liabiliti RM74.4 bilion.

Zukri enggan mengulas mengenai jumlah kerugian pada akhir 2018, tetapi menyatakan ia lebih banyak berbanding 2017.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here