Pengorbanan seorang anak perantau Kuala Lipis di Kuala Lumpur

“Sementara ibu masih ada, saya akan menggembirakan dia. Tiada siapa lagi yang dapat menjaganya, jadi tak mengapa.”

0
651

Oleh FETTY RARA

DALAM banyak keadaan tiada yang lebih kuat daripada kasih ibu, dan itulah kisah seorang anak kepada ibunya.

Portal The MalayMail melaporkan tentang seorang usahawan muda bernama Azri Walter berkongsi ebuah kisah yang ditularkan dalam Facebook baru-baru ini.

Ia tentang seorang kakitangan pejabatnya memasak nasi di pejabat dalam usaha untuk berjimat demi membantu ibunya di kampung.

Azri terserempak dengan pekerjanya itu, yang dikenali sebagai Habil bertinggung depan sebuah periuk nasi elektrik di belakang meja kerjanya pada suatu petang.

Pada mulanya Azri agak bingung kerana Habil baharu sahaja mendapat bayaran RM1,000 pada minggu itu dan takkan dia tak boleh keluar makan.

Habil, bagaimana pun, menjelaskan bahawa dia merancang untuk menghantar gajinya itu kepada ibunya yang tinggal di Kuala Lipis, Pahang.

“Ibu tidak pernah meminta tetapi saya tak sampai hati. Jika saya bagi dia duit gaji saya, dia boleh beli pakaian, makanan dan juga menggunakannya untuk adik-adik saya,” kata Habil.

Azri berasa terharu mendengar betapa sayangnya Habil terhadap ibunya kerana dia tahu bahawa ayah Habil telah lama meninggal dunia, meninggalkan ibunya untuk menjaga kesemua adik-adiknya.

Menahan sebak dan air mata, usahawan muda itu terus mengajak Habil berkongsi makan dengannya.

“Saya memeluknya dan berkata,” tak apa, kita makan bersama, okay?”

“Saya turun ke bawah untuk membeli makanan dan kemudian menjemput Habil untuk makan sama,” tulis Azri.

Azri amat terharu dengan sikap bertanggungjawab Habil untuk meringankan kehidupan ibunya dan berusaha untuk memberikannya kehidupan selesa yang mungkin.

“Habil berusia hanya 19 tahun sewaktu tiba di Kuala Lumpur untuk mencari kerja.

“Kata-kata yang Habil luahkan benar-benar memberikan kesan mendalam kepada diri ini,” tambah Azri.

Habil berkata, “tak apa, tuan. Saya tak tahu lama mana lagi ibu akan bersama saya di dunia ini, lagi pun saya pandai mencari makan setiap hari.”

“Sementara ibu masih ada, saya akan menggembirakan dia. Tiada siapa lagi yang dapat menjaganya, jadi tak mengapa,” tegas Habil.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here