BALING — Penduduk Kampung Tanjung Merbau terpaksa menanggung kerugian ekoran pelbagai kelengkapan elektrik termasuk perabot rosak dalam banjir kilat yang berlaku semalam.

Salah seorang mangsa banjir, Nur Adilah Abd Ghani,22, berkata dia tidak sempat menyelamatkan sebarang kelengkapan kerana air masuk ke dalam rumah terlalu pantas.

Katanya, rumahnya mula dinaiki air selepas Subuh dan dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan segala kelengkapan termasuklah kereta dan motosikal.

“Hujan lebat di Mukim Siong menyebabkan paras air Sungai Ketil melimpah ke penempatan penduduk di sini.

“Kalau nak diikutkan, hujan di kampung ini tidakah lebat mana, namun penat amat terasa kerana sudah empat kali banjir berlaku sepanjang bulan ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bapa Nur Adilah, Abd Ghani Ahmad,61, yang menghidap penyakit saraf turut diselamatkan anggota bomba bertugas.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Daerah Baling, Abdul Bari Abdullah, berkata sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka sejak malam tadi.

Katanya, sehingga kini, seramai 476 mangsa membabitkan 137 keluarga ditempatkan di semua pusat pemindahan terbabit.

“Antara lokasi PPS adalah Dewan Kampung Lalang, Surau Kampung Baru, Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derum, Surau Kampung Lahar,Dewan Orang Ramai Kampung Haji Abas, Dewan Kampung Sungai Batu dan Kompleks Rakan Muda Batu 42.

“Hujan lebat berterusan selama lima jam sejak jam 6 petang semalam menyebabkan paras air di Rumah Pam Pulai mencatat 50.75 meter dan berada di paras bahaya,” katanya.

Sementara itu, anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Lian Wei Lim,33, berkata misi menyelamat dijalankan dengan arahan Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling.

“Ini adalah bencana…saya mesti bantu tanpa kira orang Melayu, India atau Cina, yang penting mereka selamat.

“Puas hati dan gembira apabila dapat menyelamatkan warga emas dan l kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) ke lokasi lebih selamat,” katanya yang menganggotai PBS Kampung Lalang.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here