Rabbani buat konsert, pertandingan Nasyid Super Star

0
1340

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MESKIPUN melihatkan aliran irama nasyid kurang menguasai pasaran tempatan masa kini, itu tidak bermakna kumpulan nasyid yang pernah berada di puncak sekitar tahun 90-an sudah berkubur.

Sebaliknya, kebanyakan anggota kumpulan berkenaan telah mengembangkan bakat mereka dalam pelbagai bidang seperti perniagaan tanpa bergantung harap kepada jualan album atau persembahan pentas semata-mata.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan bertemu dengan Azadan Abdul Aziz dari kumpulan Rabbani yang dilantik sebagai ikon agensi umrah, Raza Holidays Sdn. Bhd., bersama-sama dengan penyanyi Khai Bahar.

Jelas Azadan, buat masa sekarang Rabbani sedang mencari lagu yang sesuai untuk dijadikan single baharu selepas tampil dengan Ittihad dan Marhaban Ya Rasulullah.

“Mencari bahan yang sesuai untuk lagu nasyid yang menampilkan konsep muzik dan isu semasa agak sukar. Untuk meneruskan langkah dalam industri muzik tempatan Rabbani perlu ikut perkembangan semasa.

“Sebab itu tiap kali muncul dengan lagu baharu ada saja perubahan yang kami tampilkan. Contohnya macam lagu Ittihad ciptaan Daqmie, kami pilih irama electronic dance music tapi lirik tulisan Ito Lara tetap ke arah kebaikan,” jelasnya.

Selain Azadan, Rabbani turut dianggotai Mohd. Asri Baidul, Muhammad. Luqman Abd. Aziz, Zulkiflee Azman, Ahmad Shafie, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Nazrul Azhar Tamrin dan Mohamad Affandi Shahbudin.

Tambah Azadan, setiap anggota Rabbani ada tanggungjawab untuk menguruskan pelbagai projek yang dilaksanakan di bawah jenama Rabbani.

Bagi dirinya, dia dipertanggungjawab untuk menguruskan apa saja acara yang membabitkan Rabbani dari segi persembahan ataupun pengeluaran produk.

Untuk tahun ini juga kata Azadan, pihak mereka sedang meninjau tempat untuk program berbuka puasa yang sudah dimulakan sejak 1991.

“Selama 22 tahun kami menjadi residen artis untuk Hotel Singgahsana, Petaling Jaya setiap kali Ramadan sehinggalah hotel itu ditutup.

“Selepas itu aktiviti bulan Ramadan diteruskan di beberapa tempat lain. Selalunya pihak kami dijemput dan ada juga yang kami menghantar proposal untuk bekerjasama. Untuk tahun ini kami masih mencari lokasi dan pihak yang sesuai untuk berkolaborasi,” katanya.

Sementara itu, sempena 22 tahun pembabitan Rabbani dalam bidang seni ini, kumpulan berkenaan juga merangka untuk menjayakan konsert pada tahun ini.

Kata Azadan, konsert tersebut mungkin akan diadakan pada Ogos nanti dan lokasinya di salah satu tempat di kawasan Selangor.

“Buat masa sekarang kami masih merangka konsep apa yang akan diketengahkan sempena ulang tahun Rabbani yang ditubuhkan pada Mac 1997 itu. Selain itu, pada tahun ini juga genap 10 tahun pemergian arwah Ustaz Asri Ibrahim.

“Rabbani turut berusaha untuk menganjurkan pertandingan Nasyid Super Star yang terbuka kepada bakat-bakat baharu (warganegara), tak kira kumpulan nasyid lelaki atau wanita, asalkan tidak bercampur,” ceritanya tentang sebahagian daripada perancangan Rabbani tahun ini.

Katanya, mana-mana peserta yang berumur antara 18 hingga 40 tahun yang mempunyai kumpulan nasyid atau solo  layak untuk sertai pertandingan Nasyid Super Star.

“Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM100. Hanya 30 kumpulan atau peserta akan dipilih untuk ke peringkat semi final yang akan disiarkan menerusi saluran YouTube.

“Peringkat semi final akan diadakan selama tiga hari di dewan untuk disiarkan dalam saluran YouTube nanti. Projek ini akan diuar-uarkan secara rasmi menerusi sidang akhbar yang akan diadakan Februari ini,” jelas Azadan.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here