Naib Canselor UM: Adakah beliau rasis?

Oleh DATUK PROFESOR EMERITUS DR HASHIM YAACOB dan ADI SUKMA

​APA yang benar hendaklah dibenarkan dan dipertahankan.

Apa yang salah tetap salah dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja, kelak-kelak menjadi kebiasaan untuk melakukan perkara-perkara yang salah.

​Saya perhatikan bahawa telah banyak tulisan mengutuk Naib Canselor (NC) Universiti Malaya iaitu Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim sebagai seorang yang rasis, hanya kerana kehadiran dan ucapan beliau di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019.

Mari kita hayati satu persatu ucapan beliau itu dan buatlah penilaian sendiri samada NC itu adalah seorang rasis. Saya turunkan satu persatu ucapannya:

1. NC : Setelah 60 tahun merdeka, adakah kita masih menjadi bangsa yang diangkat maruahnya dan dihormati kehebatannya?

Komen: Kami tidak nampak bagaimana ini boleh ditafsirkan sebagai menyakiti hati bangsa-bangsa yang lain. NC hanya meluahkan perasaan kecewanya kerana setelah begitu lama menjadi rakyat di negara ini, tetapi kehebatan bangsanya tidak menyerlah. Beliau tidak menghina sesiapa.

2 dan 3. NC: Dominasi politik Melayu Bumiputera (MB) telah hilang kerana perpecahan MB.

Komen: Mereka yang menyatakan bahawa pernyataan ini adalah rasis adalah sengaja mencari pasal untuk membenci NC itu. Mana pernyataan rasisnya?

4. NC: Selepas 62 tahun, ekonomi orang Melayu masih ibarat melukut di tepi gantang. Ekuiti Korporat MB di tahap 23.4%, bukan Melayu 24.8%, ekuiti asing 37.2%. Pendapatan MB 3.5 kali lebih rendah berbanding dengan kepunyaan orang Cina pada tahun 2016.

Komen: NC mahu menyedarkan orang MB tentang betapa rendahnya pencapaian mereka berbanding dengan bangsa lain, dengan harapan supaya MB akan bekerja dengan lebih kuat untuk dapat bersaing dengan rakan-rakan bangsa lain senegaranya. Ramai MB tidak menyedari hal ini kerana berada dalam zon selesa selama ini. Kami sendiri pun begitu. Apakah ini boleh dianggap NC itu rasis?

5. NC: Pendidikan kebangsaan disaing oleh pendidikan berasaskan kaum. Bahasa bukan lagi tonggak sehingga Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercabar.

Komen: Ucapan NC ini adalah berasaskan Perlembagaan Negara yang telah dibuat oleh Parlimen yang dipilih oleh rakyat. Ahli-ahli Parlimen adalah terdiri daripada pelbagai bangsa rakyat negara ini yang telah bertanggungjawab membuat Perlembagaan Negara itu. Perlembagaan Negara dengan jelas menyatakan bahawa semua sekolah hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah vernakular sebenarnya tidak dibenarkan untuk diadakan mengikut Perlembagaan Negara, tetapi Perkara ini dalam Perlembagaan telah tidak dipedulikan. Inilah fakta yang telah disampaikan oleh NC itu yang mahukan supaya Perlembagaan Negara kita ditaati.

Kami sentiasa merasakan bahawa apabila anak-anak kita daripada berbagai bangsa tidak bersekolah di bawah satu bumbung, integrasi dan rasa saling hormat-menghormati antara satu sama lain tidak akan terpupuk dengan baik. Ini ialah kerana kita telah mengasingkan diri kita dari sejak kecil, dan apabila anak-anak ini besar nanti tentu sekali mereka tidak akan dapat memahami tentang sensitiviti yang dimiliki oleh setiap kaum.

6. NC: Hak keistimewaan Melayu, agama Islam, Institusi Raja mulai dipersoal satu persatu.

Komen: Apakah ini tidak benar sudah berlaku? Kita sering membaca bahawa ada kebenarannya pada pernyataan NC ini. Walau begitu, pernyataan ini hanyalah ditujukan kepada orang-orang MB supaya mereka dapat mempertahankan apa yang dipersoalkan itu. Apakah ini salah? Apakah orang-orang MB patut berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa untuk memperbetulkan persoalan-persoalan itu? Tindakan untuk memperbetul tidak boleh disifatkan sebagai rasis.

Apa bangsa sekali pun wajib berbuat demikian apabila kehormatan mereka dipersoalkan.

7. NC: Bukankah kuasa politik itu milik kita?

Komen: NC melihat pada komposisi penduduk Malaysia pada 18 Julai 2019 yang terdiri daripada 50.1% Melayu, 22.6% Cina, 11.8% Peribumi, 6.7% India, 0.7% lain-lain dan 8.2% bukan warganegara. (https://www.worldatlas.com/articles/ethnic-groups-of-malaysia.html)

Maka jelaslah pada pandangan bahawa kaum MB majoriti, dan secara logiknya kuasa politik akan terletak di kaum majoriti. Dengan berkata kuasa politik itu milik kita, NC menyatakan bahawa kuasa itu bukan lagi milik orang MB kerana mereka berpecah-pecah sehingga menjadi kuasa yang kecil. Ini mendukacitakannya dan mendukacitakan kami. NC dan kami tidak sekali-kali manyalahkan orang bangsa lain, tetapi mempersoalkan bangsa sendiri kenapa berpecah begitu hebat sekali? Tiada unsur rasisme dalam hal ini.

8. NC: Bukankah hasil mahsul negara ini sepatutnya memakmurkan kita?
Komen: Memang benar apa yang dikatakan NC itu sebab hasil mahsul adalah sesuatu yang boleh memakmurkan kita dan menguatkan lagi kestabilan kita. “Kita” di sini bukan hanya bermaksud orang MB tetapi juga orang-orang lain di negara ini seperti mana penjelasan yang dibuat dalam peranggan 9 di bawah.

9. NC: Bukankah pendidikan itu boleh menyatukan kita?

Komen: Kami telah membuat komen dalam hal ini yang berpendapat bahawa pendidikan bersama adalah penting untuk penyatuan semua bangsa di negara ini.

10. NC: Bukankah hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sepatutnya sudah selesai?

Komen: NC hanya menyatakan bahawa apa sahaja yang termaktub dalam Perlembagaan sepatutnya telah sempurna dijalankan, dan bukannya seperti sehingga kini yang belum sangat dijayakan. Menyatakan begitu, NC hanya memperingatkan negaranya supaya mengambil tindakan mengikut Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah dipersetujui oleh semua kaum.

11. NC: Justeru itulah, berdasarkan persoalan dibangkitkan, PKKM UM bersama UPM, UPSI, UiTM bergabung tenaga bagi meneliti kegusaran dan keresahan orang MB.

Komen: Kami melihat gabungan empat buah universiti itu adalah kerjasama untuk menangani kegagalan yang telah dialami oleh orang MB. Tidak sekali-kali mempersoalkan hak dan kejayaan bangsa-bangsa lain.

12,13 NC: Lima kluster ditubuhkan bagi membincang isu berkaitan politik, budaya, pendidikan, ekonomi Melayu, dan agama Islam. Kluster-kluster ini melibatkan 360 pakar dan 1,500 peserta.

Komen: Apakah ini satu kesalahan dan membangkitkan rasisme ? Fikirlah sendiri.

14. NC: Resolusi setiap kluster yang bersidang yang diserahkan kepada YAB Tun Mahathir.

Komen: Adalah menjadi hasrat setiap kegusaran yang dihadapi untuk diserahkan kepada seseorang ketua seperti YAB Tun Mahathir selaku tunjang pimpinan untuk ditimbang tentang kewajarannya. Kaum-kaum lain pun pernah menyerahkan resolusi mereka kepada Perdana Menteri.

15. NC: Kami harap dapatan kongres ini menjadi ikrar penyatuan, tanpa mengira latar ideology, demi maruah dan masa depan orang MB.

Komen: NC hanya ingin melihat bangsanya bersatu dan tidak berpecah belah demi kemakmuran dan kestabilan negara. Kalau bangsa-bangsa lain di negara ini mahu berbuat demikian juga, demi untuk mengukuhkan bangsa-bangsa mereka, maka itu tidaklah menjadi suatu kesalahan dalam pandangan kami. Mereka juga ingin menjadi kuat dan berjaya, serta memperbaiki kemampuan masing-masing.

16. NC: Saya amat gembira melihat sambutan atas nama perpaduan Melayu demi perpaduan bangsa dan kemajuan negara.

Komen: Tiada siapa pun akan melihat pernyataan ini sebagai memudaratkan sesiapa. Kami pasti.

17,18. NC: Kami berharap resolusi yang akan diserahkan mendapat perhatian dan tindakan daripada semua yang tanggungjawab, dan terima kasih kepada yang menjayakan kongres ini.

Komen: Setelah berusaha untuk mencari kelemahan-kelemahan orang MB, NC berharap supaya resolusi yang telah diserahkan akan dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh mereka yang bertanggungjwab. Itulah harapannya dan harapan sesiapa pun yang menganjurkan sesuatu kongres.

19. NC: Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mengangkat maruah Melayu di negara ini demi memartabatkan MB, Melayu Islam dan membangunkan negara ini bersama kaum-kaum lain.

Komen: Jelas pada kami bahawa NC mahu memperbaiki tahap orang MB supaya dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain dalam membangunkan negara kita ini. Kalau orang MB dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain, maka terangkatlah maruah orang MB. Itu sahaja niatnya dan tidak yang lain.

​Kami berharap semua orang yang ingin mempertikaikan niat NC di dalam peranannya dalam Kongres Maruah Melayu yang telah berlalu, supaya membaca teks ucapan NC itu dengan teliti dan minda yang terbuka tanpa mempunyai terlebih dahulu perasaan syak wasangka. Kalau kehadiran NC pada Kongres Maruah Melayu itu dianggap sebagai perlakuan rasisme, maka Perdana Menteri, Azmin Ali, Maszlee Malik, dan beberapa Menteri Kabinet akan tergolong ke dalam orang-orang yang rasis.

​Kami sesungguhnya mengharapkan supaya semua bangsa di negara ini hidup saling menghormati antara satu sama lain. Hanya dengan cara itu sajalah kita dapat mengekalkan keamanan dalam negara. Bukankah kita semua idamkan “kemakmuran bersama” (shared properity)? Apabila semua bangsa sudah mempunyai “maruah” mereka sendiri, maka kemakmuran bersama akan tercapai.

— BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here