SEBELUM ini selepas penutupan Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, saya ada menulis mengenai Utusan bertajuk Milik Siapakah Khazanah Utusan? Khazanah bermaksud barang-barang kepunyaan, harta benda, kumpulan (himpunan) sesuatu. Paling mudah khazanah itu adalah harta. Dalam konteks Utusan, saya kategorikan harta ini ‘harta hidup’ dan ‘harta mati’. Harta hidup adalah tenaga kerja atau sumber manusia yang mempunyai pelbagai pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Sama ada wartawan, jurugambar, juruteknik, pelukis, grafik artis, eksekutif pemasaran, pengiklanan, teknologi maklumat, penyelidik dan pelbagai lagi, mereka adalah ‘harta hidup’ iaitu sumber manusia yang tiba-tiba kehilangan kerja. Lebih kurang 800 walaupun mungkin tidak semua benar-benar berkemahiran tetapi ada pengalaman dalam bidang masing-masing. Dianggarkan 800 lagi telah memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Mereka juga ‘harta hidup’ yang boleh dimanfaatkan. Pengalaman mereka amat berharga.

Malangnya , amat menyedihkan apabila tenaga manusia yang selama ini berkhidmat dengan penuh kesetiaan tidak dilayan dengan baik. Syarikat yang berhutang kepada pekerja tetapi akhirnya pekerja pula yang terpaksa menagih hutang.

Dalam beberapa hari ini hingga minggu depan, mereka yang bergelar bekas pekerja sama ada yang memilih VSS atau diberhentikan kerja berkejar ke sana sini untuk mengetahui untung nasib masing-masing.

Bagi yang berada di Kuala Lumpur terpaksa mengeluarkan tambang, sewa bas, bermalam di dalam bas semata-mata untuk mengetahui status gaji dan pelbagai bayaran yang menjadi hak mereka. Ada pula borang itu dan ini perlu diisi. Macam-macam maklumat pula muncul. Majikan tidak sepatutnya bersikap ‘cuci tangan’ sebaliknya bersedia memudahkan urusan, bukan menyulitkan. Memang sedih apabila syarikat diterajui Melayu Islam membiarkan bekas pekerja bagai kucing kehilangan anak atau anak ayam kehilangan ibu.

Satu lagi harta ‘hidup’ tetapi bukan manusia yang bernyawa adalah mesin cetak terutama di loji percetakan Bangi dan Seberang Jaya. Dalam tempoh seminggu ini, ketika berada di Terengganu, saya sempat singgah di Gong Badak dan kelmarin di Seberang Jaya. Sekadar mengambil foto dari luar pagar. Hanya tinggal bangunan tanpa penghuni. Entah apalah nasib mesin cetak yang tiba-tiba perjalanannya terhenti. Awal pagi 9 Oktober lalu adalah hari terakhir dan malam berikutnya mesin direhatkan sehinggalah ke hari ini. Khabarnya di Gong Badak mesin yang ada sudah menjadi ‘besi buruk’. Jika benar boleh dijual borong.

Untuk rekod Utusan Melayu mempunyai empat loji percetakan iaitu di Bangi, Tebrau, Gong Badak dan Seberang Jaya. Dua daripadanya ditutup lebih awal.

Bagaimana pula di Bangi dan Seberang Jaya? Rasanya nilai mesin cetak itu berpuluh juta ringgit. Seperti manusia, yang perlu makan dan minum setiap hari, begitu juga mesin. Setiap hari manusia perlu berjalan, bergerak atau bersenam. Tanpa aktiviti, ‘mereka’ akan lemah, jatuh sakit dan akhirnya mati. Kecuali yang terlalu uzur dan tidak mampu lagi berdiri atau bangun. Begitu jugalah dengan mesin. Ambil saja contoh kereta yang disimpan di garaj. Sekurang-kurangnya dua atau tiga hari, cukup sekali enjinnya dihidupkan.

Begitu juga dengan mesin cetak. Sepanjang tahun bergerak kecuali sehari dua untuk bercuti sempena perayaan. Dulu hampir tidak ada masa untuk penyelenggaraan. Baru-baru ini, ia tiba-tiba direhatkan untuk tempoh yang lama. Apa akan terjadi terhadap mesin ini? Sudah lebih dua minggu mesin itu tidak bergerak apa lagi diselenggara. Sudah tentu mesin cetak itu ditinggalkan pada pagi 9 Oktober lalu dalam keadaan yang tidak sempurna. Maksudnya kalau diibaratkan orang mati, mungkin boleh diguna istilah belum sempat ‘dimandi’ dan ‘dikafankan’.

Saya tidak arif mengenai ‘gaya hidup’ mesin ini tetapi pengalaman bersama mesyuarat operasi setiap minggu dengan wakil jabatan pengeluaran, saya yakin mesin cetak itu perlu ‘dihidupkan’ untuk tempoh tertentu. Jika tidak ia ‘sakit’. Diselenggara walaupun tidak digunakan. Mungkin juga tanggapan saya ini salah tetapi masih percaya bahawa selenggaraan perlu dilakukan. Itu pun jika ada niat mahu mencari pembeli baharu. Lainlah jika niat mahu dijual sebagai besi buruk!

Kenapa tidak disediakan satu team yang boleh menggerakkan mesin ini untuk tempoh tertentu walaupun bangunan serta harta benda disita. Mungkin sulit tetapi tidak mustahil dilakukan. Semuanya bergantung kepada niat. Amat malang sekiranya mesin itu akhirnya terpaksa dileraikan satu persatu untuk dijual sebagai mesin buruk atau akhirnya kos tinggi terpaksa dikeluarkan untuk selenggaraan jika ada pihak yang masih berminat.

Di mana letaknya kebanggaan terhadap kecanggihan mesin cetak ini selama ini? Adakah begitu pengakhiran kehebatan mesin ini? Dalam hal ini apakah peranan pengurusan syarikat? Sebelum ini saya menyatakan bahawa penutupan operasi ini bukan seperti menutup kilang besi, kilang gula, kilang kicap dan sebagainya. Benar penggulungan menyebabkan semua harta benda dibekukan untuk dicairkan tetapi jangan merosakkan atau menyusutkan nilai harta yang ada. Sejauh mana pengurusan syarikat menyusun strategi sebelum menguburkan syarikat?

Adakah pengurusan syarikat mengambil kira khazanah yang masih ada nilai dan harganya? Amat malang jika pengurusan syarikat bersikap lepas tangan bukan sahaja terhadap pekerjanya tetapi juga aset yang ada seperti ditulis sebelum ini. Adakah syarikat sedar ada khazanah yang perlu bilik berhawa dingin, contohnya bahan-bahan lama di Pusat Maklumat. Berpuluh tahun, pekerja mengumpul, menyimpan sebagai bahan arkib. Adakah arkib itu akan berakhir begitu sahaja?

Mungkinkah apa yang berlaku ini disebabkan tindakan menyerahkan sesuatu kepada yang bukan pakar atau bidangnya. Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ‘ahlinya’ maka terjadilah seperti tikus membaiki labu.

Dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah SAW bersabda sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi SAW menjawab: (Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan kehancuran” (Riwayat Bukhari)

Semoga, apa yang menjadi milik Utusan terpelihara walaupun bertukar tangan. Diharapkan juga pihak berkuasa khususnya Kementerian Sumber Manusia memantau keadaan ini supaya nasib 1,600 pekerja tidak diabaikan.

-BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here