
PUTRAJAYA – Media tempatan diajak supaya membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyampaikan mesej pencegahan rasuah, dan seterusnya memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menolak perbuatan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata media berperanan besar membawa wadah kesedaran sosial terhadap perkara yang berkisarkan kepada isu kepentingan, kebajikan serta keadilan masyarakat secara keseluruhannya.
“Tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita semata-mata, laporan itu mestilah mempunyai jiwa yang berperanan membawa kesedaran dan mendidik masyarakat terhadap sesuatu isu dan masalah sosial, termasuk isu rasuah.
“Laporkan sesuatu isu rasuah dengan penuh tanggungjawab untuk mendidik masyarakat, dedahkan kepada mereka mengenai bahaya rasuah kepada negara.
“Sampaikan mesej pencegahan rasuah kepada khalayak pembaca dan penonton. Media perlu bersama-sama SPRM khususnya dan kerajaan dalam usaha memerangi rasuah,” kata Latheefa dalam ucapannya pada Malam Apresiasi Media anjuran SPRM di sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Ja’afar Mahad.
Latheefa berkata, media harus melaporkan secara bertanggungjawab setiap isu rasuah, menjelaskan kepada umum maklumat sebenar sehingga masyarakat membenci dan jijik dengan rasuah.
“Media juga perlu membantu SPRM dalam menjayakan siasatan dengan tidak melaporkan sesuatu kes masih dalam siasatan sehingga boleh menjejaskan siasatan,” kata beliau.