Fasha yang sudah tiga tahun bergelar ibu tunggal itu berkata, selain di Perlis, majlis perkahwinannya juga akan diadakan di Kuala Lumpur dan Rembau, Negeri Sembilan di sebelah pihak Aidil, April depan.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SELALUNYA selepas bertunang, setiap pasangan sibuk membuat persiapan untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Lain pula kisahnya dengan pelakon popular Fasha Sandha. 35, yang telah mengikat tali pertunangan dengan Aidil Aziz, 32, pada 18 November tahun lalu.

Mengikut perancangan, selepas bertunang Fasha dan Aidil akan disatukan sebagai suami isteri pada bulan Mac ini.

Sayangnya kata Fasha, sehingga hari ini dia belum membuat sebarang persiapan untuk hari bahagianya itu.

Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan yang ditemui di lokasi drama 14 episod, Patah Sayap Bertongkat Paruh, di Kapar, Kelang, semalam (21 Januari) itu sempat berkongsi kebimbangannya dengan pihak media.

“Terus terang cakap, sampai hari ini satu benda berkaitan dengan majlis perkahwinan saya belum buat lagi sebab sibuk di lokasi.

“Kalau ikut perancangan asal, kami akan nikah dan bersanding di Perlis, Mac ini. Itulah sampai sekarang saya belum buat apa-apa persiapan lagi.

“Pada pihak Aidil pula rancak membuat persediaan,” luah Fasha tentang kebimbangannya itu.

Antara faktor yang menyebabkan Fasha belum membuat persiapan memikirkan soal baju nikah atau bersanding kerana dia belum bertemu dengan pengatur acara perkahwinan (wedding planner) yang sesuai.

Selain itu, kesibukan di lokasi penggambaran drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd., itu juga menjadi kekangan untuk dia memberi perhatian pada persiapan majlis pernikahannya kelak.

“Lepas drama ni saya ada projek lagi, mana ada masa saya nak fikir soal persiapan majlis nikah. Saya tak dapat nak tolak tawaran berlakon kerana pada saya itu adalah rezeki.

“Tiap kali nak tolak projek rasa sayang sebab orang masih beri kepercayaan kepada saya sedangkan orang lain tidak dapat apa yang saya dapat.

“Disebabkan fikiran begitulah urusan persiapan perkahwinan saya terjejas kerana sibuk berlakon. Sebab tu kalau orang tanya pasal persiapan saya takut nak jawab sebab belum buat satu benda pun,” akuinya.

Fasha yang akan selesai penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh, arahan Along Kamaludin pada 18 Februari depan berharap selepas itu dia dapat memberi tumpuan untuk hari bahagianya nanti.

Katanya, apa yang diperolehi (tawaran berlakon tanpa henti) merupakan rezeki anak-anak iaitu Putra Rayfal, 6, dan Putri Raysha Jemaima, 5, yang turut menemaninya di lokasi penggambaran.

Fasha yang sudah tiga tahun bergelar ibu tunggal itu berkata, selain di Perlis, majlis perkahwinannya juga akan diadakan di Kuala Lumpur dan Rembau, Negeri Sembilan di sebelah pihak Aidil, April depan.

“Ikut perancangan dan atas kehendak mama, saya bakal bernikah di masjid di Perlis. Kawan-kawan rapat sanggup datang sebab banyak perancangan mereka bila datang ke utara ni.

“Saya juga rancang nak buat majlis untuk 200 orang tetamu di Kuala Lumpur. Itu untuk rakan artis dan pihak media.

“Sementara di Rembau, Aidil kata nak jemput ramai termasuk para peminat. Harap saya berkesempatan menguruskan persiapan perkahwinan selepas selesai drama ni,” katanya penuh harapan.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here