Oleh Yusoff Ahmad Shariff

SATU Tweet oleh seorang ahli akademik Amerika Syarikat yang berkata bahawa makanan India sangat teruk telah mencetuskan perbahasan hangat tentang ketiadaan toleransi budaya dan rasisme berhubung makanan antarabangsa.

“Makanan India amat teruk dan kita berpura-pura menafikannya,” kata Profesor Hal Ehwal Antarabangsa Tom Nichols.

Susulan itu para pengkritik berkata komen beliau tidak sensitif.

Kenyataan itu juga membawa kepada perbincangan lebih meluas mengenai isu pendatang (ke Amerika Syarikat) dan berapa ramai sebenarnya yang pernah berdepan dengan isu rasis berkaitan makanan, lapor bbc.com.

Nichols yang mengajar di US Naval War College di Rhode Island menghantar tweet itu setelah seorang lagi individu meminta pendapat tentang makanan berkontroversi.

Dengan pantas para pengkritik memberikan respons, antaranya chef selebriti Padma Lakhshmi yang bertanya, “kamu tidak mempunyai deria rasa?”

Sementara itu, ada juga yang berpendapat bahawa Nichols membuat rumusan tersebut walaupun beliau sebenarnya hanya pernah merasa kurang daripada 1% makanan India.

Nichols mengaku bahawa beliau hanya pernah merasa makanan India di Amerika Syarikat dan di United Kingdom.

Yang nyata apa yang diluahkan beliau sebenarnya telah mencetuskan dialog tentang pelbagai cara makanan berperanan dalam isu pendatang.

Di Amerika Syarikat makanan antarabangsa yang kadangkala dipanggil ‘makanan etnik’ sering kali dipasarkan sebagai ‘makanan murahan’. Oleh yang demikian ramai orang Amerika lebih mesra dengan makanan jalanan yang diringkaskan tanpa penggunaan bahan-bahan tulen.

“Makanan India tidak wujud,” kata seorang pengulas.

“Tiada rasa kari. Tiada teh (chai),” tambahnya tanpa menyedari bahawa istilah chai sekadar bermaksud teh dalam bahasa Hindi, dan kari pula adalah jenis masakan dan bukannya perasa.

Pengulas-pengulas lain pula menegaskan bahawa elemen bau dan perasa telah sejak sekian lama tersirat dalam komen-komen berbaur rasis yang ditujukan kepada kaum minoriti. Mereka turut mengecam Nichols kerana sikap tidak toleransinya.

Warga Amerika generasi pertama, Saira Rao menulis, “Sikap kaum kulit putih mengutuk makanan India amat menusuk bagi seorang berketurunan India yang pernah diberitahu bahawa tubuh dan makanan kami juga bau pelik, hinggakan segala-galanya turut berbau busuk.”

Apabila isu tersebut semakin menular dalam media India hashtag #MyFavouriteIndianFood mula mengatur trend.

Dalam pada itu calon pilihan raya presiden Amerika Kamala Harris yang berketurunan India selatan antara tokoh yang berkongsi hashtag berkenaan bagi melambangkan solidariti beliau dengan kaum minoriti India di Amerika Syarikat.

Di penjuru lain, perbhasan tersebut telah membangkitkan isu lain, termasuk kecaman dan penghinaan terhadap makanan Cina yang digambarkan bagai amat ‘boring’, terlalu banyak garam dan boleh dilupakan sahaja…

Reaksi kepada isu masakan Cina antara lain mengecam pemulanya bahawa, “Itulah perangai orang (kulit putih) yang hidup terpisah daripada masyarakat berbilang kaum, mudah sangat mengecam budaya kaum lain, walhal dirinya sendiri yang jahil tentang perkara yang dikutuknya itu.”

-BebasNews

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here