Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

 

SEJUMLAH dokumen rahsia yang bocor buat pertama kalinya membuktikan bahawa China mencuci otak ratusan ribu rakyat Muslimnya secara sistematik di beberapa kem tahanan yang dikawal ketat.

Kerajaan China sebelum ini telah berkali-kali menafikan perkara tersebut dan berkata bahawa kem-kem yang terletak di wilayah Xinjiang itu hanya bagi tujuan mendidik dan latihan secara sukarela.

Bagaimana pun, dokumen rasmi yang diperoleh BBC menunjukkan bagaimana tahanan dikurung, indoktrinasikan dan diseksa.

Dokumen rasmi itu dibocorkan kepada Konsortium Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ) yang bekerjasama dengan 17 pertubuhan media, termasuk BBC dan akhbar British The Guardian.

Hasil penyiasatan menyerlahkan bukti baharu yang menyangkal dakwaan Beijing bahawa kem-kem yang telah dibangunkan di Xinjiang sejak tiga tahun lalu itu bertujuan untuk memberikan pendidikan bagi melawan ekstremisme.

Sehingga kini dianggarkan lebih sejuta penduduk Muslim Uighur berada dalam tahanan tanpa dibicarakan.

Di antara dokumen bocor yang dilabelkan oleh ICIJ sebagai ‘The China Cables’ termasuk memo sembilan muka surat yang dikirim pada 2017 oleh Zhu Hailun, wakil setiausaha Parti Komunis Xinjiang kepada para pengelola kem-kem berkenaan.

Dalam memo itu terkandung arahan yang membuktikan dengan jelas bahawa semua kem tersebut adalah penjara kawalan maksimum dengan disiplin ketat dan hukuman.

Antara arahan dalam memo itu termasuk:

  • Jangan biarkan sesiapa pun melarikan diri.
  • Tingkatkan disiplin dan laksanakan hukuman pelanggaran peraturan
  • Utamakan bahasa Mandarin
  • Ubah karakter dan minda tahanan
  • Pastikan pemantauan video menyeluruh di mana-mana

Dokumen itu turut menggariskan cara pengelola kem memantau dan mengendalikan setiap aspek kehidupan tahanan, seperti penetapan kedudukan tempat tidur, cara beratur, dan hal-hal lain yang menyekat pergerakan dan kebebasan.

Ada juga dokumen yang membuktikan bahawa lebih 15,000 orang dari Xinjiang selatan dihantar ke kem dalam satu minggu pada 2017.

Menurut pengarah Human Rights Watch China, Sophie Richardson memo yang dibocorkan itu boleh digunakan sebagai bukti pendakwaan ke atas China.

Beliau berkata apa yang dilakukan adalah wajar dianggap penyeksaan psikologi kerana para tahanan tidak tahu berapa lama mereka berada di kem itu semua.

Menurut memo itu lagi tahanan hanya mungkin dibebaskan sekiranya mereka mengubah kepercayaan, kelakuan dan bahasa yang digunakan.

Bagi peguam bela kanan, Ben Emmerson QC yang merupakan pakar undang-undang hak asasi manusia dan penasihat Kongres Uighur Dunia, apa yang dilakukan oleh kerajaan China Komunis di Xinjiang adalah program transformasi keseluruhan yang dirancang khusus untuk menghapuskan kaum Uighur Muslim di negara itu.

-BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Nampak gayanya dua negara terbesar di dunia seolah sepakat mahu menghapuskan orang Islam di kedua buah negara itu. Kita orang Islam di seluruh dunia harus bermaufakat untuk menentang usaha yang amat membimbangkan umat Islam. Masanya sudah tiba bagi kita orang orang Islam menghentikan permusuhan sesama kita untuk menentang ancaman amat berbahaya kepada orang Islam oleh kedua dua negara China dan India ini. Kita orang Islam di Malaysia begitu menerima orang kafir India dan China tanpa ditindas sedikit pun. Malangnya kedua dua kerajaan kafir India dan China ni begitu kejam sekali terhadap rakyat Islam mereka. Apakah kita tidak boleh minta pertubuhan pertubuhab hak asasi antarabangsa mengambil peranan lebih aktif dan aggresif menentang kedua negara kafir ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here