PRK Cameron Highlands: Jangan telur sebiji, riuh sekampung

1
688

Maka dapat disimpulkan bahawa dari segi peratusan, pola pengundian tidak banyak berubah. Pola pengundian PRU14 kekal dalam PRK kali ini

 
Oleh GAMAL NASIR MOHD ALI
[email protected]

 TAHNIAH kepada Barisan Nasional (BN) kerana memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands (P078) pada Sabtu (26 Januari) lalu. Namun, janganlah riuh sekampung kerana telur sebiji.

Kemenangan tersebut jika dibuat analisis yang jujur dan terbuka bukanlah satu kemenangan yang boleh bersifat sebagai menggegarkan atau menggemparkan.

Untuk mengenali kelemahan dan kekuatan BN, maka kita wajar bertanya kepada musuhnya, Pakatan Harapan (PH).

Untuk menilai kemenangan BN dari perseptif yang berbeza dan berlainan, kita kenalah cuba juga menilai analisis dari pihak-pihak yang bukan pro-BN, seperti Institut Darul Ehsan (IDE).

IDE, dalam siri analisis PRK P078 bertarikh 27 Januari, menyimpulkan kemenangan BN hanya mengekalkan status qua pola pengundian bagi kawasan Parlimen tersebut.

“Tiada perubahan yang signifikan terhadap landskap politik negara ini selepas 9 Mei 2018,” menurut laporan IDE itu.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu yang mana BN telah memenangi kerusi P078 itu, peratusan undian diterima oleh BN ialah 39% daripada keseluruhan undian, manakala PH mendapat 38% dan Pas pula 14%.

Jika BN dan Pas berganding pada PRU14 itu bermakna peratusan undian diterima oleh BN+Pas berjumlah 53% (39% campur 14%).

Pada PRK P078 26 Januari itu, BN menerima 54.67% daripada keseluruhan undian, manakala PH pula mendapat 39.96%.

Ini bermakna jika dibandingkan keputusan peratusan undian antara PRU14 dan PRK di P078, undian untuk BN+Pas hanya meningkat 1.67% (54.67% tolak 53%), sementara undian PH juga meningkat, tetapi lebih sedikit berbanding BN+Pas iaitu 1.96% (39.96% tolak 38%).

Dari perspektif ini, kalau hendak, BN bolehlah dilihat sebagai tewas meskipun meraih kemenangan, manakala PH pula menang walaupun tewas pada PRK P078 berkenaan.

Namun, sebenarnya IDE telah menyimpulkan bahawa sebenarnya jumlah undian untuk BN+Pas telah menyusut sebanyak 1,846 undi atau 13.29% (13,894 pada 2018 berbanding 12,038 pada 2019).

Jumlah undian kepada PH pula hanya menyusut 910 undi atau 9.37% (9,710 pada 2018 berbanding 8,800 pada 2019).

Dari kaca mata IDE, BN+Pas telah kehilangan undian yang lebih besar daripada PH. “Maka dapat disimpulkan bahawa dari segi peratusan, pola pengundian tidak banyak berubah. Pola pengundian PRU14 kekal dalam PRK kali ini,” tegas IDE.

IDE juga melaporkan, pertambahan undian kepada BN dari 10,307 kepada 12,038 (atau pertambahan 1,371 undi) adalah disumbangkan oleh undi sebahagian ahli Pas di DUN Jelai.

“Namun walaupun wujud sokongan Pas kepada BN tetapi tidak dinafikan juga ada dalam kalangan ahli Pas yang tegar dan tradisi memilih untuk tidak keluar mengundi kerana tidak mahu mengundi BN,” kata IDE.

Biarlah tulisan ini diakhiri dengan kesimpulan penting IDE iaitu: “Kerjasama politik antara Pas dan UMNO dilihat berjaya di Cameron Highlands. Dan jika kerjasama ini berjaya, ternyata ia akan memberi kesan kepada landskap politik negara ini kelak khususnya dalam perihal politik orang Melayu.”

Mungkin dalam konteks, bolehlah BN+Pas berkokok sedikit dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih (N24) di Selangor pada Mac ini bakal menguji kesimpulan IDE mengenai kerjasama politik antara Pas dan UMNO itu.

— BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Benar pun. BN tak perlu berkokok kerana dapat pertahankan kerusi CH. Sebenarnya isu kaum dan agama telah dimainkan semasa berkempen untuk mengalahkan calon PH. Tidak lebih daripada itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here