Jorak Dipertimbang Tapak Pelupusan Ganti Bukit Payong – Zuraida

0
522
Gambar Atas: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (dua dari kanan) ketika meninjau tapak cadangan untuk dijadikan loji WTE di Jorak, Muar. /KPKT

 

PAGOH — Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan tapak pelupusan sampah baharu di Jorak yang menggunakan kaedah loji ‘sisa ke tenaga’ (WTE) bagi menggantikan lokasi asal di Bukit Payong.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata dengan tapak pembinaan baharu itu ia sekali gus mampu menyelesaikan masalah pusat pelupusan sampah di Simpang Renggam yang telah mencapai tahap maksimum dan kritikal.

Beliau berkata kawasan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri itu adalah sesuai bagi pembinaan tapak pelupusan berkonsepkan WTE itu hanya memerlukan keluasan kawasan hanya lapan hektar sahaja bagi pembangunannya.

“Kawasan di Jorak ini adalah alternatif bagi menggantikan cadangan tapak asal iaitu di Bukit Payong, Batu Pahat yang mempunyai beberapa isu seperti ketidakselesaan penduduk di kawasan sekitar dan sebagainya.

Saya sudah melawat kawasan tersebut (Jorak) dan berpendapat tiada masalah diteruskan. Daripada aspek fizikal juga semuanya sesuai dan bagi saya selagi kawasan itu bawah kerajaan negeri, kami selaku pelaksana akan akur. Cuma jika kita sampai terpaksa beli tanah baharu, itu saya tak setuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Balai Bomba Pagoh. Sebelum itu beliau melawat ke lokasi cadangan tapak pelupusan sampah di Jorak di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis.

Beliau berkata tapak pelupusan WTE yang dilaksanakan itu dilihat lebih mesra alam berbanding konsep ’landfill’ yang dipraktikkan sebelum ini sekali gus menjadikan proses pelupusan sisa pepejal lebih bersih selain menjimatkan penggunaan tanah.

Katanya, pembinan konsep WTE itu selari dengan sasaran kerajaan yang menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu loji dalam tempoh dua tahun lagi bagi menghapuskan sepenuhnya tapak-tapak pelupusan sisa pepejal.

Sementara itu Zuraida berkata, kerajaan juga akan memberi penumpuan penambahan balai bomba dan penyelamat (BBP) di kawasan pedalaman bagi memastikan akses kemudahan bagi respons situasi kecemasan dan kerja meyelamat dapat dihantar lebih cepat.

Beliau berkata, sebanyak 42 balai akan dan sedang dibina di seluruh negara pada tahun depan manakala di Johor sehingga kini terdapat empat balai bomba dan penyelamat yang sedang dalam pembinaan iaitu di Punggai, Sungai Rengit, Sabana Cove dan Bandar Tenggara.

“Penambahan ini mengambil kira kepadatan penduduk dan jarak antara kawasan, selain itu kita juga menggalakkan penubuhan Bomba Sukarelawan dalam kalangan komuniti untuk membantu JBPM,” katanya.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here